utama

[UPDATE] 'Terlepas pautan tangan anak...'

Oleh Nor Farhani Che Ad

“SAYA sempat paut tangan anak sebelum dia hanyut dibawa arus deras.”

Itu detik cemas diceritakan Che Yang Ton, 55, yang kehilangan suami, Johari Bakar, 55, dan anak bongsu mereka yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Kampung Baru, Sungai Kob, Kulim, malam semalam.

Che Yang berkata, dia sempat berpaut bersama anak bongsunya, Nur Suri Danila, 14, di pokok jambu sebelum tangan anaknya itu terlepas disebabkan motosikal yang hanyut melanggar kakinya.

“Ketika hanyut dibawa arus, saya sempat berpaut di pokok jambu bersama anak, bagaimanapun motosikal yang hanyut melanggar kaki saya sehingga membuatkan tangan saya terlepas dari pokok jambu dan tangan anak turut terlepas.

“Nasib saya baik apabila sekali lagi sempat berpaut di pokok mangga sebelum memanjat pokok itu sehingga bantuan tiba,” katanya.

Che Yang yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, dia tidak menyangka kejadian banjir kali ini begitu serius hingga mengorbankan dua ahli keluarganya.

Katanya, kedua-kedua jenazah suami dan anaknya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Kob, Kulim, 6.30 petang hari ini.

“Sebelum ini rumah kami pernah dinaiki air, namun paling teruk hanya paras paha dan kawasan parkir tidak pernah dinaiki air.

“Saya tidak menyangka banjir kali ini begitu teruk ditambah dengan arus begitu deras,” katanya.

Sementara itu, anak Che Yang, Hazim Hezri Johari, 22, berkata, pada 11 malam semalam, dia membawa ayah, ibu dan adiknya ke ruang parkir rumah yang terletak di kawasan lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, beberapa minit kemudian arus deras seakan ombak datang sehingga menghanyutkan ayah, ibu dan adiknya.

“Kami berempat sempat naik ke atas tembok di ruang parkir, sebelum arus deras menghentam pintu pagar rumah dan menghanyutkan kereta dan ayah.

“Saya nampak ayah tenggelam ke dasar air bersama keretanya dan saya sangka ayah bergerak ke arah mak... rupanya arwah dibawa arus.

“Saya sempat berpaut pada tiang dan menyedari hanya ibu sahaja berada tidak jauh dari saya manakala ayah dan adik sudah tidak kelihatan,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] 'Sempat dengar jeritan anak...''

'Dua beranak lemas banjir di Kulim'

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 1:04am
d