utama

Aqeef permudahkan kerja

Oleh Michelle Gun

Berbeza dengan ibu bapa lain, pasangan pelakon Amyra Rosli dan Amar Baharin tiada masalah membawa cahaya mata mereka, Aqeef Anaqi ke tempat kerja.

Mereka bertuah kerana bayi lelaki berusia tujuh bulan itu tidak meragam apabila dibawa bersama menghadiri acara.

Selain itu, pasangan berkenaan juga tidak menggunakan khidmat pembantu, sebaliknya memilih menjaga sendiri anak mereka.

Pada awalnya, Amyra atau Nur Amira Izzati Rosli, 27, mengakui agak bimbang Aqeef kurang selesa apabila dibawa ke majlis.

“Saya dan suami sudah bersedia berdepan segala kemungkinan ragam anak yang bakal dihadapi.

“Bagaimanapun, dia tidak menangis walaupun muzik kuat dan ramai orang.

“Sudah banyak majlis yang kami hadiri bersama Aqeef dan dia berkelakuan baik malah tidak susah menjaganya,” kata Amyra.

Bintang drama bersiri Nur itu turut bersyukur apabila Aqeef berkelakuan baik sepanjang perjalanan menaiki kapal terbang dari ibu kota ke Korea Selatan.

“Baru-baru ini, saya ke Korea Selatan atas tuntutan kerja dengan Baskin Robin. Saya dan suami risau juga tetapi dia senyap sepanjang perjalanan ke sana.

“Kelakuan baik anak banyak memudahkan kerja kami. Namun, kami tetap membuat persediaan dengan meminta pembantu menjaga anak sekiranya dia mula meragam sewaktu majlis,” katanya.

Seperti anak selebriti lain, Amyra dan suami juga tidak menghalang Aqeef terbabit dalam dunia seni pada usia muda.

Dia dan Amar tidak menolak sekiranya mereka sekeluarga ditawarkan menjadi duta atau terbabit dalam sesi fotografi kerana sudah menjadi pakej.

Menurut Amyra, dia dan suami sudah berfikir secara mendalam mengenai perkara itu.

“Kami akan fikir banyak kali untuk menerima sesuatu tawaran yang memerlukan kehadiran anak.

“Sekarang timbul isu bayi sakit kerana dipegang dan dicium orang luar.

“Alhamdulilah, rakyat semakin peka terhadap isu berkenaan membuat kami tiada masalah membawa anak ke tempat awam,” katanya.

Elak anak disentuh orang sekeliling

Sebelum ini, Amar pernah meluahkan pandangan mengenai sikap segelintir individu yang gemar menyentuh dan mencium bayi bukan milik mereka di media sosial.

Menurut pelakon itu, dia sekadar mahu memberi kesedaran yang perbuatan itu boleh menjejaskan kesihatan bayi.

“Majoriti pengikut bersetuju dengan pandangan saya. Sebagai artis, saya mahu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu terbabit kerana simpati membaca kes bayi yang sakit selepas dipegang dan dicium individu tertentu,” katanya.

Sejak berkongsi status itu, Amar memberitahu orang sekeliling sudah tidak berani memegang anaknya tanpa kebenaran.

“Apabila ada anak, saya dan isteri sangat menekankan keselamatan dan kesihatannya.

“Jangan mudah sentuh anak orang kalau demam atau tangan tidak bersih.

“Aqeef pernah batuk teruk dan sesak nafas sewaktu berusia dua bulan lebih. Kejadian itu membuatkan kami jadi lebih peka,” katanya.

Sementara itu, pasangan berkenaan meluahkan rasa teruja kerana Ramadan dan Aidilfitri ini menjadi pengalaman pertama mereka sambut bersama Aqeef.

Selain itu, Amar memberitahu tidak sabar memperkenalkan Aqeef kepada saudara- mara yang masih belum berkesempatan bertemu bayi yang dilahirkan pada Oktober tahun lalu itu.

“Tahun ini, kami sekeluarga akan menyambut Aidilfitri di ibu kota. Saya berhasrat bawa anak berjumpa ibu dan bapa saudara sebelah saya yang belum bertemu dengan Aqeef,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 7:48am
d