utama

Jangan hina kami

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: “Kalau tidak dapat bantu, jangan hina kami dengan tuduhan tidak berasas,” kata Khatijah Abdullah, 36, terhadap pihak tertentu yang mendakwanya menipu semata-semata untuk meraih simpati di media sosial.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, kedaifan menyebabkan tujuh beranak tinggal di rumah pusaka di Kampung Anai, Limau Kasturi di sini, walaupun kediaman berusia lebih 30 tahun itu sudah reput dan uzur.

Empat kali keluarga ini membuat permohonan membina rumah melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), tetapi hingga kini tiada jawapan.

Khatijah berkata, hatinya cukup terguris membaca komen segelintir pihak di Facebook (FB) yang menghinanya selepas berita mengenai kemiskinan keluarganya disiarkan di akhbar ini.

“Saya tidak menokok tambah dan memang betul sudah empat kali permohonan rumah PPRT dihantar kepada pihak pengurusan KESEDAR, tetapi tidak ada jawapan hingga sekarang.

“Bagaimanapun, di FB ada segelintir pihak bukan sahaja menuduh saya memberi maklumat tidak betul, malah turut menghina keluarga saya.

“Kalau mereka tidak dapat bantu dari segi kewangan pun, saya hanya harap doa mereka untuk mempermudahkan segala urusan, bukan dihina seperti kami sekeluarga tiada perasaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Terdahulu, dia menerima kunjungan Pengarah Urusan Hentian Gua Musang Naemah Ya’akob dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail yang tampil menghulurkan sumbangan.

Menurutnya, sejak berita mengenai kesusahan keluarga dilaporkan media membuatkan banyak pihak berkaitan mula tampil untuk membantu.

“Saya bersyukur kerana sudah ada maklum balas daripada pihak berwajib terutama pengurusan KESEDAR untuk buat semakan semula. Harapan saya masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 8:30am
d