utama

Doakan pembedahan anak Lan Solo lancar

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Lan Solo mengakui berdebar dan tidak tidur lena apabila anak keempatnya, Nur Amna Quxandra, tiga bulan, bakal menjalani pembedahan bibir sumbing, esok di pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata, dia dan isteri, Nur Sheila Hassim juga bersedia dari segi mental apabila anaknya perlu berpuasa bermula 2 pagi esok.

"InsyaAllah, hari ini anak masuk wad sebab nak bagi dia berpuasa sebelum menjalani pembedahan, 8 pagi esok. Sebagai ibu bapa, tentu saja kami berdebar apatah lagi ini pengalaman pertama.

"Bukan saja tidur tidak lena tetapi perasaan pun bercampur baur. Apa pun, saya dan isteri kena kuat dari segi mental kerana anak perlu berpuasa hampir enam jam.

"Sudah tentu anak akan menangis nak menyusu. Jadi, kami kena tahan dan pandai pujuk. Ibaratnya, sanggup atau tidak saja melihat situasi itu nanti," katanya kepada Harian Metro.

Lan yang juga bekas vokalis kumpulan Kristal berkata, dia dimaklumkan doktor yang mana anaknya perlukan penjagaan rapi selepas pembedahan terutama pada bahagian bibir.

"Dari segi kesan selepas pembedahan, Doktor kata tidak ada yang negatif. Cuma, selepas ini kami kena latih anak menyusu menggunakan botol susu bayi sumbing tanpa perlu menyonyot.

"Ia bertujuan untuk merehatkan bibir yang baru selesai pembedahan. Lagi satu, Doktor memaklumkan pada bahagian gusi anak ada garisan. Jika pembesaran dan kesihatan anak baik, garisan tidak merekah dan ia akan jadi normal," katanya.

Dalam masa sama, Lan berkongsi dia terpaksa mengkuarantin anaknya daripada berjumpa orang ramai selama hampir sebulan sebelum pembedahan dilakukan.

"Saya tidak bawa dia keluar rumah dan berjumpa orang. Saya bimbang, kalau kesihatan terjejas, pembedahan terpaksa ditunda dan kami kena tunggu lama lagi.

"Alhamdulillah, hingga hari ini kesihatan anak baik-baik saja. Apa pun, doakan semoga pembedahan anak saya berjalan lancar. Terima kasih atas sokongan dan kata-kata semangat diberikan semua pihak selama ini," katanya.

Nur Amna Quxandra dilahirkan pada 24 Februari lalu di Pusat Perubatan Rampai Puteri, Kuala Lumpur.

Selain Quxandra, Lan dan isteri dikurniakan tiga cahaya mata lain iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 11:40am
d