utama

Didakwa bunuh tiga beradik [METROTV]

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

PEKERJA penyelenggaraan dihadapkan di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini, atas tiga tuduhan membunuh tiga beradik di rumah di Kampung Sungai Haji Muhammad, Bagan Datuk, 17 Mei lalu.

Tertuduh, Shahrul Pitri Jusoh, 35, turut didakwa dengan tiga tuduhan cubaan membunuh dan satu tuduhan mencederakan seorang kanak-kanak di kampung sama pada hari sama.

Shahrul Pitri dituduh atas tiga tuduhan berasingan membunuh Muhammad Faqih Zahirulhaq Mohd Fadzil, 5, dan dua adiknya, Muhammad Firash Zafrill, 3, dan Nur Zia Fasihah, 2.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah projek bantuan bina rumah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di kampung terbabit antara jam 2.30 hingga 2.40 petang pada hari pertama umat Islam berpuasa itu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Shahrul Pitri mengaku memahami pertuduhan, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan, manakala tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Majistret Syahdatul Kamila Zakaria menetapkan 4 Julai ini untuk kes itu disebut semula bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah berasingan, Shahrul Pitri dituduh cuba membunuh menggunakan parang terhadap guru agama, Redhuan Embi, 32, di jalan hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad (SKSHM), kira-kira jam 2.45 petang.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap ibu tiga beradik berkenaan, Zuraidah Mat Ali, 35, di rumah projek bantuan bina rumah MAIPk antara jam 2.30 hingga 2.40 petang.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap murid Tahun Empat, Nur Aina Umaira Subri, 10, di titi pondok hadapan SKSHM antara jam 2.15 hingga 2.25 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi ketiga-tiga tuduhan itu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Shahrul Pitri juga didakwa mencederakan Nur Zuryn Faziera Mohd Fadzil, 9, yang juga kakak kepada tiga beradik mangsa bunuh, menggunakan parang di titi pondok hadapan SKSHM antara jam 2.15 hingga 2.25 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang beralamat di Taman Alam Megah, Shah Alam, Selangor, mengaku tidak bersalah terhadap semua empat pertuduhan berkenaan.

"Saya minta bicara, saya dalam keadaan tidak sedar, saya khayal," kata tertuduh di hadapan Majistret Norita Mohd Ardani.

Norita turut menetapkan semua kes itu disebut semula pada 4 Julai ini dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 11:41am
d