utama

Yusry ikut pilihan Lisa

Oleh Ardini Sophia Sina

Bahang Aidilfitri kian terasa. Ramai mula rancang melakukan persiapan termasuk menyediakan pakaian baharu untuk digayakan pada hari lebaran nanti.

Selebriti juga tidak terlepas mencari pakaian rona sedondon untuk keluarga. Bagi pasangan Lisa Surihani dan Yusry Abd Halim, mereka juga sibuk dengan persiapan Aidilfitri.

Kata Lisa, dia akan membuat semua persiapan itu sebelum Ramadan kerana tidak mahu terkejar-kejar. Bagaimanapun, kesibukan tahun ini membuatkan dia tidak sempat menempah baju raya.

“Selalunya, semua persiapan raya termasuk baju sudah siap sebelum Ramadan. Cuma tahun ini, saya belum buat apa-apa persiapan kerana sibuk dengan aktiviti seni.

“Alhamdulillah, ada banyak peniaga yang menjual pakaian secara dalam talian. Ia memudahkan saya untuk mencari baju raya. Kali ini saya agak terkejar-kejar melakukan persiapan,” katanya.

Enam tahun bergelar isteri, persiapan raya banyak dilakukan Lisa termasuk soal pemilihan warna baju. Namun, tahun ini berbeza apabila Yusry yang memilih warna tema untuk mereka sekeluarga.

Yusry berkata, dia bernasib baik kerana Jovian Mandagie sudi menaja baju raya dan memintanya memilih 20 warna. Kini, hanya Lisa dan anak masih tercari-cari pakaian sesuai.

“Baju raya saya sudah siap, tinggal Lisa dan anak yang belum selesai.

“Saya tidak cerewet dalam pemilihan baju termasuk warna. Saya ikut saja apa yang Lisa pilih. Apa yang sudah disediakan pada pagi raya, itulah yang akan saya pakai,” katanya.

Kebiasaannya, pasangan ini akan menyediakan tiga pasang baju raya namun Lisa meminta Yusry memilih lima warna sebagai persiapan seandainya berdepan kesukaran mencari warna sedondon.

Tidak ada warna lembut tahun ini, antara warna pilihan Yusry ialah biru gelap, kelabu dan hijau zamrud. Warna pilihan itu bagaimanapun tidak menyukarkan Lisa untuk mencari baju sedondon.

LISA DAN YUSRY BERGANDINGAN

Pasangan sama cantik sama padan ini aktif melunaskan komitmen kerja masing-masing. Malah, mereka bakal bergandingan mengarahkan drama selepas sambutan Aidilfitri.

Kata Yusry, ada beberapa projek dalam senarai namun semuanya masih dalam perbincangan. Menariknya, Yusry mahu Lisa menggalas tugas sebagai pembantu pengarah.

“Sebelum ini pun saya dan Lisa sudah pernah bekerjasama dalam beberapa projek. Dia jadi pembantu pengarah dan kerja jadi mudah kerana kami berkomunikasi dengan baik.

“Selepas ini, saya mahu dia terus bekerja di samping saya kerana dia sangat tersusun orangnya. Saya pula ada banyak idea tapi semua main langgar. Dengan bantuan Lisa urusan kerja jadi lebih sistematik dan lancar ,” kata Yusry.

Meskipun sedih KRU dibubarkan, Yusry melihat perkara itu secara positif. Ia membuka lembaran baru dalam kerjaya seninya dan mencetuskan lebih banyak idea untuk dikembangkan.

Dek letih dengan persiapan konsert KRU baru-baru ini, Yusry mengambil keputusan berehat pada Ramadan dan Syawal nanti. Namun, itu tidak bermakna dia sekadar goyang kaki di rumah sebaliknya masa senggang yang ada dimanfaatkan dengan menulis naskhah baru.

Sementara itu, Lisa yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel sedang meneliti tawaran drama yang bakal menjalani penggambaran Jun ini.

“Ramadan ini saya tidak bekerja. Seiring peningkatan usia, saya berusaha memperbanyakkan ibadat. Ikutkan sudah beberapa tahun saya kosongkan jadual sepanjang Ramadan.

“Bagaimanapun, ada satu drama mungkin saya bintangi. Namun, saya perlu meneliti skrip dan melihat dengan siapa saya bekerja sebelum memberikan kata putus,” katanya.

Semakin langsing selepas melahirkan anak kedua, Lisa berkata, dia bekerja keras untuk menurunkan berat badannya dengan mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam.

“Saya mula bersenam selepas empat bulan melahirkan Leo. Ketika itu berat saya 66 kilogram dan sekarang 52 Kilogram. Saya banyak bersenam dan pemakanan pula saya masih makan nasi tetapi memilih beras kurang kanji,” katanya.

Lisa dan Yusry bernikah pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Yahaira Leanne, 4 serta Yusof Leonne, 1.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 8:26am
d