utama

'Alhamdulillah... anak selamat dibedah'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI, Lan Solo bersyukur dan lega apabila anak keempatnya, Nur Amna Quxandra, tiga bulan selamat menjalani pembedahan bibir sumbing, pagi tadi, hari ini di sebuah pusat perubatan Kuala Lumpur.

Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, dihubungi Harian Metro berkata, anaknya dimasukkan ke dewan bedah jam 9.30 pagi dan selesai dalam tempoh dua jam.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Cuma, sekarang anak masih dalam bilik pemantauan dan selepas sedar nanti baru dibawa ke wad biasa.

"Doktor memaklumkan proses pembedahan yang sepatutnya berlangsung selama tiga jam dapat diselesaikan lebih awal. Apa yang penting selepas ini adalah penjagaan rapi terutama pada bahagian bibir.

"Selepas ini kami kena latih anak menyusu menggunakan botol susu bayi sumbing tanpa perlu menyonyot. Ia bertujuan untuk merehatkan bibir baru selesai dibedah," katanya.

Berkongsi mengenai keadaan anaknya yang terpaksa berpuasa sejak jam 2 pagi, Lan berkata anaknya tidak berhenti menangis.

"Bukan saja anak menangis, isteri pun menangis sama sebab tidak tahan melihat keadaan anak yang lapar nak menyusu.

"Jadi, saya dan isteri kena pandai pujuk dan bawa dia berjalan bagi menenangkannya. Kalau tidak, memang tidak berhenti menangis," katanya.

Nur Amna Quxandra dilahirkan pada 24 Februari lalu di Pusat Perubatan Rampai Puteri, Kuala Lumpur.

Selain Quxandra, Lan dan isteri dikurniakan tiga cahaya mata lain iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.

Berita berkaitan:Doakan pembedahan anak Lan Solo lancar

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 1:15pm
d