utama

Wang kutipan pengemis lebih banyak?

Oleh Mohd Khidir Zakaria

BERBEKALKAN beg pakaian dan seorang kanak-kanak berusia lingkungan setahun, wanita berusia 30-an dipercayai warga asing mampu meraih kutipan ratusan ringgit hanya beberapa jam mengemis di bazar Ramadan di Port Dickson.

Tinjauan NSTP mendapati, wanita dipercayai warga Kemboja itu aktif menjalankan aktiviti meminta sedekah di beberapa lokasi bazar Ramadan di Giant Lukut, Batu 4 dan Taman Politeknik.

Peniaga Bazar Ramadan Taman Politeknik yang hanya mahu dikenali sebagai Aida, 33, berkata, wanita itu datang seawal empat petang bersama seorang kanak-kanak dan duduk berhampiran gerainya meminta sedekah daripada pengunjung.

Katanya, selama dua atau tiga jam berada di situ, wanita berkenaan mendapat wang sedekah lebih banyak berbanding hasil jualan peniaga.

“Saya ada bertanya wanita itu dan dia mengaku datang dari Kemboja. Apa yang saya nampak ramai yang memberikan wang mungkin kerana kasihankan kanak-kanak itu,” katanya.

Penduduk, Abd Razak Alias, 49, berkata, wanita itu aktif meminta sedekah bersama anak kecil di beberapa lokasi pada hari berbeza dipercayai bagi mengelak perbuatannya dikesan pihak berkuasa.

“Saya rasa wanita ini bergerak dengan bantuan sindiket yang bergerak aktif sejak awal Ramadan lagi. Apa yang menghairankan, bagaimana mereka bebas melakukan perbuatan ini di tempat awam tanpa takut dengan tindakan pihak berkuasa.

“Sebagai rakyat, saya amat kecewa kerana ia boleh menjatuhkan maruah negara kepada orang luar tambahan pula Port Dickson dikunjungi pelancong asing. Harap pihak berwajib bertindak segera kerana ia mencemarkan nama baik negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohamad Hapil berkata, pihaknya menjalankan operasi mengesan pengemis di semua lokasi bazar Ramadan di Port Dickson secara serentak bersama agensi lain seperti polis dan Jabatan Imigresen petang semalam.

“Kami menyelamatkan seorang lelaki dewasa kurang upaya dipercayai warga China di bazar Ramadan di Giant Lukut dan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

“kami tidak menemui wanita warga Kemboja yang dilaporkan itu, namun akan terus menjalankan operasi membanteras kegiatan mengemis dari semasa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 2:38pm
d