utama

Beri kepercayaan kepada adik

Oleh HM Digital

Setiap penyanyi pastinya mengimpikan untuk mengadakan persembahan atau konsert sendiri.

Tidak terkecuali buat Amira Othman yang turut menyimpan impian itu sejak mula bergelar penyanyi.

Amira yang juga pelakon berkata, impian itu memang sentiasa ada dalam dirinya.

“Namun, sebelum muncul dengan persembahan sendiri, saya perlu pastikan ada jumlah pengikut yang mencukupi terlebih dahulu,” katanya.

Menurut gadis berusia 25 tahun ini, dia juga ada beberapa rancangan lain bagi memantapkan kerjayanya sebagai penyanyi.

“Satu daripadanya adalah untuk bekerjasama dengan adik saya iaitu Irfan Haris dan Haiqal Othman.

Namun, sebagai permulaan, mungkin akan berduet dengan Irfan terlebih dahulu.

“Ini kerana Haiqal berada di Melbourne, Australia menyambung pelajarannya. Jadi, ada sedikit kekangan di situ,” katanya.

Berada dalam keluarga berdarah seni, Amira berkata, mereka bertiga berkongsi genre muzik yang sama iaitu balada.

“Kami lebih ke arah lagu berentak balada. Irfan pun boleh hasilkan lagu sendiri. Apa saya nampak, dia juga menuju ke arah lagu berentak balada yang penuh emosi,” katanya.

Menurutnya, dia juga memberi kepercayaan kepada adiknya itu untuk menghasilkan lagu sebagai single akan datangnya.

“Sekarang Irfan sedang hasilkan lagu untuk single saya yang seterusnya. Pada masa sama, dia pun sibuk hasilkan lagu untuk single barunya sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya seni sepanjang Ramadan, Amira memaklumkan dia kini sibuk dengan projek kerjasama dengan jenama pakaian.

“Sesuai dengan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba, saya bekerjasama dengan pereka fesyen Zareeth Zehra menerusi Zareeth Zehra X Amira Othman dan kami keluarkan rekaan baju kurung.

“Selain itu, ada beberapa program TV yang sudah dirakamkan sebelum Ramadan, jadi bulan ini saya banyak masa untuk rehat dan lebih santai,” katanya. -Syafil Syazwan Jefri

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 8:24am
d