utama

Kejutan hidup semula

Oleh Daily Mail

Moscow

Sekumpulan wartawan Ukraine menerima kejutan buat kali kedua apabila seorang rakan mereka yang dilaporkan mati ditembak pembunuh upahan tiba-tiba muncul kembali dalam keadaan sihat hanya beberapa jam selepas ‘kematiannya,’ kelmarin.

Kemunculan Arkady Babchenko, 41, secara tiba-tiba menyebabkan semua rakannya terpinga-pinga sebelum meraikan saat paling gembira itu.

Pada sidang media itu, Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) mendedahkan, ‘kematian’ Babchenko sengaja dirancang mereka dalam usaha membongkar rancangan pembunuhan lelaki terbabit, didakwa oleh perisik Russia.

Babchenko yang lantang mengkritik Russia dan Presiden Vladamir Putin pernah menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatannya.

“Saya meminta maaf kepada isteri saya, Olechka.

“Saya tidak ada pilihan lagi. Operasi ini dirancang selama dua bulan.

“Mereka memberitahu saya mengenainya sekitar sebulan lalu. Hasilnya, seorang lelaki berjaya ditahan,” kata bapa beranak enam itu.

Selasa lalu, Kiev dan polis memberitahu, Babchenko yang menjadi pengkritik keras Kremlin, ditembak beberapa kali di apartmen miliknya dan ditemui berlumuran darah oleh isterinya.

Mereka turut menunjukkan sekeping gambar yang menunjukkan ‘mayat’ Babchenko bersama beberapa kesan tembakan sebelum Kiev menyalahkan Russia atas kematian itu.

Russia bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan, sebaliknya menuduh Ukraine menggunakan Babchenko sebagai alat propaganda mereka.

Sementara itu, Ketua SBU, Vasily Gritsak berkata, mereka merancang kematian Babchenko kerana ingin mengesan lelaki Ukraine yang diupah membunuhnya, selain mencari perisik Russia yang mengupah pembunuh berkenaan.

Gritsak berkata, penyiasat mengenal pasti warga Ukraine diupah AS$40,000 (RM159,092) oleh perkhidmatan keselamatan Russia yang merancang pembunuhan itu.

Katanya, lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu mengupah rakannya sebagai pembunuh upahan yang sudah dikenal pasti sebelum kedua-duanya ditahan.

Bagaimanapun, Gritsak tidak menceritakan butiran terperinci bagaimana SBU berjaya mengesan kaitan dua lelaki Ukraine terbabit dengan Russia dan bukti mereka membayar kepada lelaki terbabit.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 8:55am
d