utama

Masak lemak cili api eksotik

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Telur sotong dan ikan serta siput sedut masak lemak cili api yang dicampur keladi sudah cukup untuk menjadikan gerai Mohd Farhan Azwan Mohd Azlan di Masjid Tanah di sini, sentiasa dikunjungi pelanggan.

Saban petang, gerai Mohd Farhan Azwan, 29, di bazar Ramadan Masjid Tanah itu tidak pernah lekang daripada pelanggan terutama mereka yang menggemari masakan Negeri Sembilan.

Dengan mengadunkan siput sedut, telur sotong dan telur ikan, Mohd Farhan Azwan mahu pelanggan menikmati keenakan ketiga-tiga jenis makanan berkenaan dalam satu hidangan.

Dia yang sudah berniaga selama 22 tahun di bazar itu berkata, tidak ramai pelanggan tahu keenakan ketiga-tiga menu terbabit kerana kurangnya peniaga mampu menyediakan masak lemak cili api.

“Saya menggunakan resipi nenek moyang yang mahir dalam masakan cili api untuk membuktikan kepada pelanggan telur sotong, telur ikan dan siput sedut sememangnya cukup enak untuk dinikmati.

“Sayur keladi bukan setakat menjadi pelengkap masakan, malah menambah kelazatan,” katanya ketika ditemui di bazar berkenaan.

Mohd Farhan Azwan dan abangnya, Mohd Hafiz Azwan, 34, dibantu lima anak saudara untuk melayani pelanggan yang hadir ke gerai mereka untuk mendapatkan pelbagai juadah.

Selain ketiga-tiga jenis masakan itu, mereka juga menyediakan 43 jenis masakan lain, termasuk rendang daging daun maman.

“Daun maman rasanya masam, tetapi ia menambah kelazatan rendang daging dan digemari mereka yang sudah berusia,” katanya.

Mohd Farhan Azwan berkata, dia belum bercadang untuk menambah menu juadah kerana yang sedia ada sudah memenuhi tuntutan selera pengunjung.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 9:22am
d