utama

Nak rempuh pengundi, serang rumah ibadat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LIMA BELAS suspek yang terbabit dalam kumpulan pengganas ditahan antara 27 Mac hingga 9 Mei lalu oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan dan Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan itu membabitkan enam suspek warga tempatan, dua warga Filipina yang mempunyai taraf penduduk tetap, empat warga Filipina, seorang warga Bangladesh serta suami isteri warga Afrika Utara berusia antara 17 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas.

"Dalam operasi itu, kami menahan pelajar sekolah menengah disyaki anggota kumpulan pengganas Daish yang merancang untuk melancarkan serangan‘lone wolf’ menggunakan molotov coctail ke atas gereja, pusat hiburan dan kuil hindu di sekitar Kuala Lumpur.

"Selain itu, kami turut menahan wanita yang merancang serangan menggunakan kereta untuk merempuh pengundi bukan Islam ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan pertama pada 27 Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan warga tempatan yang diusir dari Turki.

"Suspek berlepas ke Turki pada 31 Januari lalu sebelum ditahan pihak berkuasa negara itu kerana disyaki cuba menyusup masuk ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas Daish.

"Tangkapan kedua pula dilakukan pada 2 April lalu di Gombak, Selangor membabitkan suami isteri warga Afrika Utara masing-masing berusia 22 dan 25 tahun yang disenarai hitam oleh pihak berkuasa negara berkenaan kerana disyaki menjadi anggota kumpuln pengganas Daish.

"Mereka menyusup masuk ke negara ini pada 16 Mac lalu untuk transit sebelum berlepas ke negara ketiga. Kedua-dua suspek diusir pulang ke negara asal pada 14 April lalu," katanya.

Beliau berkata, tangkapan ketiga dilakukan pada 2 April lalu di Kuala Lumpur membabitkan warga Bangladesh berusia 41 tahun yang juga pemilik restoran di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan senjata api bagi kegunaan anggota pengganas antarabangsa dan tersenarai di bawah ‘red notice’ Interpol.

"Pada 20 April lalu, kami menahan warga tempatan yang juga pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun di Petaling Jaya, Selangor, selepas dia didapati menghasilkan enam molotov cocktail dan menguji satu daripadanya di kawasan lapang di sekitar Damansara Damai, Petaling Jaya.

"Suspek merancang menggunakan molotov coctail itu untuk melancarkan serangan terhadap gereja, pusat hiburan dan kuil hindu di sekitar Kuala Lumpur.

"Dia sudah menjalankan ‘recce’ (tinjauan) dam rakam lokasi sasaran selain merakam video amaran untuk melancarkan serangan dan memuat naik video berkenaan dalam tiga kumpulan perbualan WhatsApp serta satu kumpulan perbualan Telegram sebelum ditahan satu jam kemudian," katanya.

Katanya, tangkapan seterusnya membabitkan dua daripada empat individu dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam rancangan serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam dan merancang membunuh anggota polis.

"Suspek yang dalam perancangan akhir melarikan diri ke negara jiran ditahan pada 20 April lalu di Johor Bahru, Johor, manakala seorang lagi suspek pula ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Meranti, Pasir Mas, Kelantan pada 23 April lalu. Dua lagi suspek masih bebas.

"Di Sabah, tujuh suspek membabitkan seorang warga tempatan, dua warga Filipina yang mempunyai taraf penduduk tetap serta empat warga Filipina yang berusia antara 22 hingga 49 tahun ditahan pada 24 dan 26 April lalu kerana merancang untuk mengumpul senjata api di negeri terbabit bagi tujuan berjihad di Marawi City, Filipina.

"Tangkapan terakhir pada 9 Mei lalu di Puchong, Selangor terhadap seorang suri rumah berusi 51 tahun yang merancang serangan menggunakan kereta untuk merempuh pengundi bukan Islam di pusat pembuangan undi ketika PRU14 selain merancang merempuh rumah ibadat bukan Islam menggunakan kereta dimuatkan tong gas sebagai bahan letupan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan atas kesalahan di bawah Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Mereka juga disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747), manakala tiga suspek warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 12:20pm
d