utama

"Ada yang pakai baju biru... " - PM [METROTV]

Oleh Manirajan Ramasamy

KERAJAAN sangsi terhadap kesetiaan pegawai kerajaan yang didapati mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, termasuk secara terbuka berkempen untuk Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebagai penjawat awam, mereka tidak seharusnya terbabit dalam sebarang kempen parti politik.

“Salah satu masalah pentadbiran yang kita hadapi sekarang, ramai pegawai kerajaan dengan sukarela atau tidak ambil bahagian dalam PRU, berkempen untuk BN.

“Kita berasa sangsi tentang kesetiaan sama ada mereka masih pegang pada kesetiaan kepada kerajaan baru.

“Ini mengganggu pentadbiran kerajaan kerana kita mahu mentadbir ikut cara kita dan manifesto kita untuk laksana janji kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, di Petaling Jaya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak mahu menghukum secara sambil lewa kerana itu bukan caranya, namun mengakui ada dalam kalangan mereka terlalu taksub dengan agenda kerajaan terdahulu.

“Ada segelintir penjawat awam yang memakai baju warna biru untuk berkempen,” katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 12:52pm
d