utama

Waran tangkap untuk Jamal

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan waran tangkap terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos kerana gagal tampil dan memberikan kerjasama berhubung siasatan polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah memberikan masa yang cukup kepada Jamal untuk tampil menyerah diri bagi memberikan kerjasama dalam membantu siasatan dilakukan.

"Bagaimanapun, beliau tetap gagal berbuat demikian, sebaliknya mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan bahawa keselamatan dirinya terancam.

"Justeru, polis mendapatkan waran tangkap terhadap beliau mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan sah.

"Waran tangkap sudah dikeluarkan hari ini oleh Mahkamah Majistret Ampang, Selangor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai Jamal diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sehingga kini, pihak polis sudah menuduh tiga kes terhadap Pengerusi Gerakan Baju Merah itu ketika di Hospital Ampang Puteri, Ampang, 25 Mei lalu, selain masih mempunyai baki enam kes yang belum dituduh.

Jamal dituduh di hospital berkenaan atas kesalahan mempamerkan senjata api serta dua kesalahan lain sebelum menghilangkan diri selepas diberikan ikat jamin, namun tidak sempat untuk menyelesaikan proses berkenaan.

Sebelum ini, Jamal yang berjanji untuk tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, kelmarin, gagal berbuat demikian walaupun pihak media sudah menunggu sejak 2 petang.

Malah, beliau mendakwa pihak berkuasa ketika ini membuat rancangan dengan menekan PDRM untuk menganiaya dirinya menerusi kenyataan dan video berdurasi tujuh minit 37 saat yang memaparkan Jamal berlatar belakangkan kebun kelapa sawit sambil menerangkan mengenai beberapa tindakannya sebelum ini.

Berita berkaitan

Bukan balas dendam kepada Jamal

Ada sang pendendam 'memburu' saya - Jamal Yunos [METROTV]

Jamal 'kelentong' media?

Jamal jumpa polis esok

Jamal 'lesap' dari hospital...k

[UPDATE] Jamal mungkin salah faham - peguam

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 2:50pm
d