utama

'Usia hanya sekadar angka'

Oleh Najiy Jefri

Kejayaan Amy Search menawan Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal baru-baru ini mendapat pujian ramai.

Siapa sangka pada usia mencecah 60 tahun, vokalis Search itu berjaya merealisasikan impiannya menawan ABC yang berketinggian 4,130 meter dari aras laut.

Amy berkata, dia tidak menyesal menyertai misi pendakian itu walaupun terpaksa berhadapan cabaran cuaca sejuk sehingga di bawah paras beku.

Amy turut menganggap pengalaman itu sebagai memori yang sangat manis.

“Misi ini adalah satu pengalaman yang cukup berharga dalam hidup saya. Banyak kenangan dikutip dan berharap kejayaan ini memberikan kenangan terindah buat peminat saya selama-lamanya.

“Saya langsung tidak menyesal dengan keputusan untuk mendaki ke sana kerana apabila sampai di puncak, segala penat-lelah dan sakit semuanya hilang,” katanya.

Dalam pada itu, Amy turut berterima kasih kepada isterinya, Nourish yang selama ini banyak mendorong dan memberi kata-kata semangat untuk mendaki serta melakukan aktiviti lasak lain bersamanya seperti berbasikal dan payung terjun.

Pada usia 60 tahun, Amy turut membuktikan bahawa kudratnya masih kuat dan usia bukan penghalang menempa kejayaan.

“Usia hanyalah sekadar angka. Sebenarnya sepanjang perjalanan ke ABC, saya lihat ada individu yang lebih tua daripada saya turut melakukan pendakian.

“Saya selalu percaya jika ada semangat dan percaya dengan kebolehan diri, kita pasti mampu merealisasikan setiap impian . Insya-Allah, tahun depan saya akan meneruskan misi lain pula,” katanya.

Pada masa sama, Amy turut bersyukur apabila impiannya untuk memperoleh anak ketika usia 60 tahun tercapai apabila Nourish kini disahkan hamil.

Amy berkata, dia tetap akan meneruskan misi menawan Kem Pangkalan Everest (EBC) tahun depan walaupun Nourish tidak dapat menyertainya.

“Alhamdulillah, penyertaan peminat sudah penuh iaitu 32 orang. Ada dalam kalangan mereka pernah bersama saya dalam misi ABC, tetapi kebanyakannya orang baru,” katanya.

Sementara itu, Search bakal tampil membuat persembahan di Konsert Matrix Aidilfitri Festival 2018 di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan pada 30 Jun ini jam 9 malam.

Konsert yang turut menampilkan kumpulan Spider dan Hujan itu diadakan sempena ulang tahun ke-21 Matrix Concepts dan lima tahun Matrix disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 5:58am
d