utama

Jadual padat hingga 2019

Oleh Ardini Sophia Sina

Sepanjang Ramadan ini, pelakon jelita Emma Maembong tidak memperlahankan rentak dalam bidang seni.

Mungkin selebriti lain memilih untuk berehat tapi tidak bagi gadis ini.

Jadualnya tidak hanya padat dengan majlis berbuka puasa, tetapi juga sibuk di lokasi penggambaran. Sejak bergelar pelakon, Emma tidak pernah mengambil cuti pada Ramadan.

Dengan kehadiran ramai pelakon baru, Emma tidak berasakan kemunculan mereka sebagai pesaing atau menggugat kedudukannya.

Gadis berusia 26 tahun ini melihat situasi berkenaan sebagai satu pertumbuhan yang baik pada seni lakon. Malah, ia adalah kitaran normal dalam industri seni tanah air.

“Ia adalah perkara normal kerana pada awal kemunculan pun saya adalah pelakon baru. Kemudian perlahan-lahan dipilih untuk menjadi heroin.

“Sekarang ini saya masih lagi mendapat tawaran untuk menjadi pelakon utama drama. Mungkin satu hari nanti saya akan membawa watak ibu dan pelakon baru sekarang menjadi heroin pula,” katanya.

Emma turut bersyukur kerana jadual kerjanya padat hingga tahun depan dan lega masih menjadi pilihan pengarah dan produksi.

Dilabel sebagai pelakon kelas A oleh segelintir pihak, Emma bagaimanapun tidak pernah meletakkan dirinya dalam mana-mana kelas apatah lagi ‘demand’ dari segi bayaran.

“Saya tidak tahu ada yang letakkan saya dalam pelakon kelas A. Tapi, saya tidak pernah anggap diri seperti itu. Saya masih Emma yang dulu.

“Ketika bekerja, orang panggil saya Emma tetapi keluarga kenal saya sebagai Timoh, seorang yang sederhana, periang dan suka mengusik,” katanya.

Perniagaan punca utama pendapatan

Menghasilkan beberapa produk untuk diniagakan, status sebagai selebriti tidak menjanjikan ia mampu bertahan seperti yang diharapkan.

Emma juga pernah berhadapan dengan situasi sukar apabila produk yang dijual itu kurang menjadi dan akhirnya lingkup.

Namun, dia tidak pernah berputus asa dan berusaha mencari peluang dalam perniagaan.

Lebih selesa rangkaian produknya diuruskan adik-beradik, Emma berkata, mereka menandatangani kontrak sebagai tanda serius menjalankan perniagaan itu.

“Walaupun kami adik-beradik, kontrak perlu ditandatangani supaya tidak ada sikap sambil lewa pada pihak saya mahupun mereka.

“Bukan saya tidak percaya, tetapi kontrak itulah yang menjadi tanda kami serius menjalankan perniagaan. Kalau timbul perasaan ‘oh, tidak mengapa. Dia adik saya,’ mungkin perniagaan tidak akan bertahan lama.

“Saya buat perniagaan ini bukan untuk berjaya seorang diri, tetapi mahu kami semua mengecapi kejayaan bersama-sama,” katanya.

Kata Emma lagi, pada awalnya, memang timbul konflik, namun akhirnya masing-masing faham tugas dan tanggungjawab dalam memasarkan sesebuah produk itu.

Emma mengakui punca pendapatan utamanya adalah perniagaan. Oleh itu, dia perlu teliti dalam semua hal termasuk kualiti dan mutu produk berkenaan.

“Saya seorang yang tegas. Ada masa terluang, saya akan turun padang untuk melihat perjalanan produk berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 6:30am
d