utama

'Kenduri' 20 Mat Afrika

Oleh Safeek Affendy Razali

Kuala Lumpur: Seorang wanita tempatan dibelasah sekumpulan 20 lelaki Afrika di Damansara Perdana, Selasa lalu selepas mengambil gambar kekasihnya yang juga warga Senegal berhibur bersama wanita warga asing lain sambil minum minuman keras.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa berusia 33 tahun dilaporkan sedang menunggu ibunya di Jalan PJU 8/5, Damansara Perdana di sini, sebelum terlihat teman lelakinya bersama wanita warga asing.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amani, berkata, dia bertindak menghampiri kekasihnya berusia 40 tahun itu selepas mengambil gambar.

“Saya kemudian bertindak mengambil gelas diminumnya bagi memastikan sama ada minuman itu beralkohol atau sebaliknya. Ini berikutan dia pernah berjanji dengan saya tidak akan minum minuman keras.

“Bagaimanapun gelas itu terlepas dan pecah sebelum lebih 20 lelaki warga asing yang disyaki mabuk datang memukul serta menendang saya,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, tidak lama kemudian, seorang lelaki Nigeria yang juga adalah pemilik salah sebuah kedai makan di situ menarik tangannya dipercayai untuk mencederakannya.

“Saya kemudian menjerit supaya dilepaskan sebelum melarikan diri ke sebuah kedai runcit di kawasan berhampiran.

“Pemilik kedai yang juga seorang warga tempatan segera menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan.

“Semasa pihak polis tiba, kumpulan lelaki warga asing terbabit masih berkumpul di kawasan itu yang dipenuhi warga Afrika,” katanya.

Amani juga mendedahkan, kebanyakan warga Afrika yang menetap di kawasan berkenaan disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah penipuan siber atau scam, pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta menipu dan mempermainkan wanita warga tempatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 8:13am
d