utama

Tengku Amir sedia kemudi FAS

Oleh Firdaus Hashim

BEKAS pengurus pasukan Selangor, Zakaria Rahim mengesahkan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersedia untuk memikul tanggungjawab selaku Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang baru, Julai ini.

Menurut Zakaria atau lebih dikenali dengan panggilan Zack, menerusi perbincangan bersama RMS sebelum ini, Tengku Amir melahirkan kesediaan untuk mengemudi FAS sekiranya khidmat beliau ditagih badan induk itu.

Katanya, tindakan Datuk Seri Subahan Kamal melepaskan jawatan Presiden FAS adalah langkah tepat susulan pelbagai masalah yang dihadapi sepanjang menerajui badan induk itu.

“Ini satu usaha yang sihat di mana apabila seseorang Presiden berasa sudah tidak mampu lagi meneruskan tanggungjawab, keputusan mengundurkan diri adalah jalan terbaik.

“Saya sendiri sudah berjumpa RMS beberapa kali dengan beliau bersetuju untuk mengambil alih. Kenyataan Datuk Seri Subahan itu adalah suatu pengesahan bahawa RMS akan mengambil alih FAS.

“Pagi tadi (semalam) juga saya ada berjumpa beberapa pegawai RMS dan mereka turut mengesahkannya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Piala Dunia FIFA 2018 di Kedutaan Russia, semalam.

Nama Tengku Amir bukanlah asing dalam bola sepak Selangor. Beliau sangat aktif di peringkat akar umbi dan juga bola sepak komuniti di Selangor dengan Tengku Amir sendiri mengilhamkan kejohanan Selangor Champions League sejak tiga musim lalu.

“Beberapa perubahan akan berlaku dalam sistem pentadbiran FAS, pasukan Liga Super serta pembangunan di peringkat akar umbi di negeri ini.

“Selain itu, liga-liga domestik di Selangor juga akan mengalami transformasi bagi merancakkan lagi bola sepak,” katanya yang pernah membawa Red Giants muncul juara Liga Super sebanyak dua kali pada 2009 dan 2010 serta Piala FA 2009.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 5:24pm
d