utama

Bella lebih tenang

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Tarikh 2 Mei lalu menjadi hari paling menyedihkan buat pelakon Bella Dally apabila ikatan perkahwinan dengan suami yang juga pelakon Nazim Othman terlerai dengan lafaz cerai talak satu.

Selepas empat tahun bercinta dan dua tahun bergelar suami isteri, banyak kenangan indah dilalui bersama.

Suka, duka, tawa dan menangis dilalui bersama menjadikan kedua-dua mereka lebih mengenal erti perhubungan sebenar.

Namun, sebagai manusia kita tidak pernah menduga nasib yang bakal menimpa.

Begitu juga Bella yang sedikit pun tidak membayangkan perceraian adalah pengakhiran hubungannya dengan Nazim.

Namun begitu, perceraian adalah jalan terbaik buat mereka. Kata sepakat diambil tanpa perlu ada rasa kekesalan dalam diri.

Apa yang diharapkan, kehidupan diteruskan seperti biasa dan menganggap setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

Menyorot kembali tempoh dua tahun perkahwinannya, Bella, 27, atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally berkata, dia banyak belajar erti kesabaran dan toleransi.

“Apabila berkahwin, kita perlu ubah pemikiran yang mana sudah ada pasangan. Dari situ, saya belajar erti sabar dan toleransi.

“Namun, dua perkara ini tidak menjadi kerana akhirnya saya kena fikir mengenai diri sendiri juga. Disebabkan itu, keputusan berpisah adalah jalan terbaik.

“Memang sedih sebab tidak ada pasangan yang berkahwin inginkan perceraian.

“Apatah lagi usia perkahwinan baru dua tahun. Sedangkan tempoh bercinta lebih panjang.

“Memandangkan perpisahan dibuat secara baik, jadi saya tidak mahu wujud unsur negatif seperti perbalahan.

“Saya percaya, apa yang berlaku buatkan kami jadi lebih matang. Malah, saya terima apa saja Allah nak berikan,” katanya.

Genap sebulan bercerai, Bella mengakui kehidupannya kini lebih tenang. Fokus utamanya adalah diri sendiri dan masa depan.

Dalam masa sama, Bella juga tidak mahu lagi mengenangkan kisah silam. Biarlah apa yang berlaku tinggal memori dan terpahat dalam lipatan sejarah hidupnya.

“Alhamdulillah, sekarang saya lebih tenang dan positif. Fasa tekanan sudah berlalu. Disebabkan itu, saya ingin fokus apa yang ada depan mata.

“Tidak dinafikan, perceraian adalah masalah, tetapi saya tidak mahu terlalu fikir.

Paling penting sekarang adalah diri sendiri. Saya sudah cukup bersedih selama ini, jadi ini waktu sesuai untuk kembalikan kegembiraan dalam diri,” katanya.

Ditanya jika Nazim ingin rujuk semula, Bella mengakui tidak terfikir ke arah itu.

“Sekarang saya ingin pandang ke depan. Rujuk atau apa juga perkara ke arah perhubungan, memang tidak terfikir lagi.

“Cuma, apa boleh dikatakan, saya dan Nazim tidak bermusuh. Dia ada menghantar mesej dan bertanya khabar.

“Setakat ini belum pernah berjumpa lagi. Kalau terjumpa pun, saya okay saja,” katanya.

Sibukkan diri

Enggan kesedihan merajai diri, Bella yang juga pelakon Makmum Yang Paling Aku Cinta mengambil keputusan berniaga sepanjang Ramadan ini.

“Saya seorang yang tidak boleh duduk diam. Jika tidak, saya akan fikir yang bukan-bukan.

“Saya tidak mahu perasaan sedih ini menguasai diri seterusnya membuatkan jiwa kacau. Disebabkan itu saya perlu buat sesuatu.

“Saya sibukkan diri dengan berniaga. Alhamdulillah, ia belangsung dengan baik dan positif,” katanya.

Berkongsi mengenai perniagaan diusahakan, Bella memilih produk biskut Crumbs by Bella.

“Ini adalah percubaan pertama saya berniaga. Sebelum ini, pernah merancang untuk memulakan perniagaan, tetapi tidak ada keyakinan. Namun, sejak awal tahun saya sudah nekad untuk buat sesuatu.

“Jadi, saya fikir biskut adalah yang terbaik selain ia lebih mudah berbanding produk lain. Disebabkan itu, sepanjang Ramadan saya fokus berniaga dan tidak terbabit dengan penggambaran atau program lain.

“Alhamdulillah, sambutan diberikan sangat bagus yang mana ia habis dijual. Sebagai peniaga, ia membuatkan saya gembira dan puas.

“Ia sekali gus meningkatkan semangat untuk terus berniaga dan merancang untuk menghasilkan produk lain pula,” katanya.

Menurut Bella yang juga duta Ariani, walaupun penat tetapi berbaloi apabila produk diusahakan laris dan mendapat permintaan tinggi.

“Berniaga memang penat. Ia berbeza dengan menjalani penggambaran. Biskut ini saya buat sendiri.

“Biarpun ada masalah, tetapi saya tidak putus asa. Apabila dapat tangani masalah berkenaan, ia menambahkan lagi keyakinan saya. Dari situ, saya boleh fikir jalan penyelesaian lain,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 4:59am
d