utama

'Baru tukar hijau, kereta belakang dah hon' [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Pertambahan jumlah kenderaan sekali ganda dijangka berlaku menjelang musim perayaan tidak lama lagi.

Seperti biasa, statistik kemalangan akan menjadi bualan dalam kalangan masyarakat di Malaysia kerana ramai yang akan menggunakan kenderaan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Isu keselamatan jalan raya di negara ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak bukan saja pada musim perayaan, malah pada hari biasa kerana faktor pengubahsuaian kenderaan, kemudahan jalan raya serta sikap pemandu itu sendiri.

Presiden Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK) Mohamed Hisham Shafie mempunyai pandangan tersendiri mengenai isu jalan raya di Malaysia berdasarkan pengalaman selama 20 tahun di dalam bidang itu.

Mengharapkan ada perubahan hasil advokasi dilakukan selama bertahun-tahun, beliau berkongsi pendapat itu dengan wartawan YUSMIZAL DOLAH ALING untuk Kafe Ahad minggu ini.

Apakah isu keselamatan jalan raya yang menjadi fokus PPJK ketika ini?

Buat masa ini PPJK lebih fokus kepada isu lesen memandu klon dan penipuan berkaitan lesen yang berleluasa di media sosial seperti Facebook, WeChat, Instagram.

Mereka mempromosikan tanpa rasa takut dan bimbang kepada undang-undang yang kerajaan sendiri tetapkan.

Begitu juga dengan masalah lain seperti jalan berlubang, kesesakan lalu lintas dan pokok tumbang serta banyak lagi isu yang kita rasa serius berkenaan keselamatan pengguna jalan raya sendiri yang kita rasa perlu diperbaiki oleh Kementerian Pengangkutan.

Berdasarkan kajian PPJK, apakah aspek keselamatan jalan raya yang dipandang remeh oleh masyarakat sehingga menyebabkan bahaya ada di mana-mana?

Sebenarnya isu keselamatan ini, kalau kita nak cakap lebih lanjut, semuanya datang dari kita sendiri. Nak berubah, nak baik atau apa sekali pun, datang daripada kita sendiri. Semuanya terletak kepada individu. Program pemanduan berhemat, jangan potong sebelah kiri, jangan guna telefon bimbit, pakai tali pinggang, topi keledar, kita faham bahawa advokasi keselamatan itu penting.

Tapi perlu ada satu pendekatan cara baru bagi PPJK. Kita tak boleh dengan hanya menggunakan satu slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat dan Berhati-Hati Di Jalan Raya. Ini tidak boleh lagi kita pakai slogan begini kerana kadang-kadang kita duduk di tepi jalan juga tidak selamat.

Ada juga di lampu isyarat, ada juga aduan yang kita terima tengah berhenti, lori datang dan langgar. Jadi, sesuai lagi ke slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat itu dan Berhati-Hati Di Jalan Raya, sekarang ini ada tak orang berhati-hati di jalan raya.

Macam tadi, saya sendiri tengok lampu baru saja bertukar hijau, kereta belakang dah hon. Jadi kita ada masa, lampu trafik baru bertukar. Tunggulah sekejap, ini yang saya katakan sikap pemandu kita dengan sikap yang tidak ada sabar dalam pemanduan.

Advokasi di Malaysia sudah sampai ke tahap mana? Kenapa masih perlu ada kempen dan sebagainya walaupun mendapat lesen daripada muda?

Sifat pentingkan diri sendiri macam yang saya cakap tadi. Bila dalam pemanduan, dia fikir diri dia saja. Itu, kalau kita cerita di sini, di umur 30 hingga 40 tahun kalau kita cakap apapun, kemungkinan, bagi saya agak terlambatlah.

Advokasi keselamatan, pendidikan, tentang undang-undang, apa yang kita patut belajar di peringkat anak-anak kecil daripada sekolah rendah, daripada umur enam tahun. Kita pun biasa ketika memandu, tiba-tiba anak tegur, ayah kenapa tak pakai tali pinggang.

Dia tahu pakai tali pinggang itu adalah wajib. Daripada peringkat itu lagi kita perlu mendidik, jadi kalau peringkat kita umur 40 atau 50 tahun, eh...kuning tu bersedia, berhati-hati, tapi dia akan jadi masa kuning itu, lagi laju.

Kalau anak-anak kita ajar macam itu, masa akan datang dia akan fikir kuning itu bukan untuk berhenti, tetapi kena berlumba-lumba sebelum warna merah.

Itu salah satu faktornya. Itu juga boleh menyebabkan  kemalangan. Macam potong sebelah kiri, pakai topi keledar, itu semua perlu dididik di peringkat bangku sekolah, undang-undang yang mudah kita cakap yang kanak-kanak boleh faham.

Lebih kurang kita guna sepuluh pendekatan pertama yang agak mudah kita terapkan kepada kanak-kanak di sekolah, itu yang penting. Yang lain kita ingat satu demi satu mereka akan faham.

Dari segi spesifikasi, adakah kemudahan di jalan raya sudah memadai, ataupun apakah modifikasi kenderaan menyumbang kepada kemalangan?

Saya rasa di Malaysia, kebanyakan kita guna kereta yang standard. Yang ubah suai itu tidak terlalu ramai. Cuma kadang-kadang, orang yang sudah berumur sentiasa ubah suai kereta untuk kelihatan sporty dan sebagainya. Tak mungkin. 

Yang ubah suai, samalah juga macam motor (motosikal). Takkanlah orang tua nak ubah suai motor dan merempit ke masjid dan surau. Isu modifikasi ini selalunya kita tengok pada anak muda remaja.

Yang nak rasa keseronokan, ekzos bising, nombor pendaftaran kecil, itu dia rasa satu cabaran yang dia nak buat. Tapi risikonya dia kena tanggunglah sebab itu semua melanggar Akta Pengangkutan 1987.

Bagi saya, bukan kenderaan saja, kalau kita tengok di taman perumahan, contoh mudah kadang-kadang macam buat bonggol sendiri. Ada yang tirus tajam, ada yang lebar, ada yang begitu begini. Ada yang saya rasa tak ikut spesifikasi, tak sesuai kalau ikut pihak berwajib.

Tempoh dua minggu sebelum perayaan, jumlah kenderaan dijangka meningkat di lebuh raya dan jalan utama. Apakah perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pengguna jalan raya?

Saya terbabit dalam bidang ini hampir 20 tahun termasuk kaji selidik kemalangan, insurans, kebajikan, masalah jalan dan halangan lalu lintas. Saya nampak, pada musim perayaan selalu akan jadi satu trend ramai yang gagal merancang waktu perjalanan dengan sempurna. Tetapi tahun ini kita cuti sekolah dulu, baru cuti raya.

Bermaksud, akan ada cuti sebelum hari raya dan selepas hari raya. Mungkin merancang perjalanan itu untuk ke satu destinasi akan jadi lebih baik.

Berbanding kalau kita tidak ikut jadual perjalanan, kita nak balik ke Ipoh misalnya, pukul berapa kita perlu keluar, kita kena tahu. Nak balik ke Pulau Pinang, pukul berapa. Nak balik ke Johor pukul berapa kita nak keluar.

Semuanya sudah ditetapkan di dalam garis panduan supaya perjalanan kita lancar. Jadi bila kita rancang dengan baik, jalan pun tak sesak. Kali ini mungkin tak padat sangat kerana cuti yang panjang. Saya rasa ia sesuai untuk merancang.

 

Apakah tabiat salah yang paling kerap digunakan pengguna jalan raya?

Sebenarnya kalau kita ada perancangan, paling mustahak kita kena pastikan kenderaan sempurna, tayar, brek minyak, semua kena OK.

Ada yang suka pasang sistem audio, tetapi kita kena fokus kepada pemanduan dan kena ingat orang tersayang yang ada bersama kita. apabila kita memandu kita kena waspada dengan sekeliling kita, cuaca, sama ada panas atau hujan.

Kurangkan sifat penting diri sendiri, jangan guna telefon ketika memandu. Ramai yang suka memandu mengikut jarak yang dekat menyebabkan kita akan brek secara mengejut.

Apa jarak yang selamat? Banyak syor yang ada, bagi nampak tayar, bagi ada jarak dua buah kenderaan dan macam-macam. yang penting jangan gopoh dan lalai ketika memandu.

Jika ingin berhenti, pastikan tempat yang selamat dan ada ruang sesuai bagi mengelakkan berlakunya kemalangan dengan kenderaan lain. Sama juga kita jangan potong di sebelah kiri kerana itu pentingkan diri namanya.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 6:16am
d