utama

Cermin enggan mengalah

Oleh Mary Victoria Dass

Kulai: Tiga penjenayah melarikan diri selepas gagal memecah cermin ruang pameran sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Taman Putri di sini, jam 7.40 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam cubaan merompak itu, premis berkenaan didatangi tiga lelaki bersenjatakan tukul besi dan parang.

Katanya, ketika kejadian, hanya dua kakitangan wanita bertugas di kedai emas berkenaan selain tiada pelanggan.

“Suspek dapat memecahkan lapisan pertama ruang pameran barangan kemas namun gagal memecah lapisan kedua.

“Selepas berusaha memecahkan kira-kira 10 minit, ketiga-tiga suspek melarikan diri.

“Suspek dilihat melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal bernombor pendaftaran JQW 7433,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Dzulkhairi, kakitangan kedai emas berkenaan tidak dapat mengecam suspek kerana mereka memakai topi keledar.

Beliau berkata, suspek yang mengenakan jaket merah dan hitam berkulit gelap, bertubuh kurus serta memiliki ketinggian kira-kira 170 sentimeter.

“Tiada sebarang kehilangan barangan atau kerugian dalam cubaan merompak itu. Perbuatan suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan kami masih mengesan suspek,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 7:31am
d