utama

'Jangan pisahkan kami'

Oleh Mohd Khidir Zakaria

“BANTU saya dan jangan pisahkan kami hanya kerana cucu beragama Islam,” kata M Manikam, 51, berhubung status penjagaan cucunya yang kehilangan ibu, seorang mualaf dalam kemalangan, kelmarin.

Manikam berkata, cucunya, Nur Insyirah Imani Abdullah, 6, kini di bawah jagaannya selepas ibu kanak-kanak itu yang juga anak Manikam meninggal dunia selepas terjatuh dari lori dinaikinya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Menurutnya, arwah anaknya, Aisyah Ponmoli Abdullah, 25, satu-satunya anak yang memeluk agama Islam dan dia bersedia menjaga cucunya itu buat sementara waktu walaupun berlainan agama.

“Dia (Nur Insyirah) akan terus bersekolah di Tadika Taman Wawasan, Lukut. Saya mengalu-alukan sebarang bantuan daripada mana-mana pertubuhan Islam dan kalau boleh, saya nak jaga dia sampai bila-bila.

“Saya akan jaga dan sekolahkan cucu saya seperti anak lain. Semua anak-anak saya (abang Aisyah) sayangkan adik bongsu mereka walaupun dia beragama Islam.

“Tolong jangan pisahkan saya dengan cucu kerana sebelum ini hubungan kami tiada masalah walaupun berlainan pegangan agama,” katanya ketika ditemui ketika pengebumian jenazah Allahyarham Aisyah di Port Dickson, semalam.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Lukut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raja Jumaat, Lukut.

Manikam berkata, Aisyah yang juga ibu tunggal bekerja sebagai pekerja am di KLIA dan memeluk Islam selepas mendirikan rumah tangga dengan seorang warga India.

Bagaimanapun, pasangan itu berpisah kira-kira dua tahun lalu apabila lelaki itu pulang ke negara asal.

Sementara itu, wakil Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata, masalah penjagaan anak ibu tunggal mualaf itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 2:21pm
d