utama

Rimas jadi gemuk

Oleh Michelle Gun

Pelakon meningkat naik, Puteri Aishah bertuah kerana rezekinya dalam bidang seni sentiasa ada sejak menyertai pertandingan Dewi Remaja 2014/2015.

Sepanjang tiga tahun dalam industri seni, Puteri, 23, sudah membintangi beberapa drama bersiri dan terbaru filem lakonan sulungnya, Pulang.

Malah, sepanjang Ramadan, pelakon jelita berasal dari ibu kota ini tetap komited dengan kariernya dan sibuk dengan penggambaran drama bersiri Terima Aku Seadanya.

Puteri berkata, kali ini wataknya dalam drama 20 episod terbitan ntv7 itu berbeza dan lebih mencabar kerana berlakon sebagai gadis bersaiz badan besar.

“Drama ini mengisahkan gadis yang pada asalnya kurus dan tiba-tiba menjadi gemuk dengan berat badan 90 kilogram.

“Walaupun berpuasa, penggambaran tetap berjalan seperti biasa sehingga sebelum Syawal.

“Namun begitu, saya tidak kisah kerana menganggap pengalaman itu penting untuk memperbaiki persembahan lakonan,” katanya.

Bagi menghidupkan watak gadis gemuk, Puteri dikehendaki memakai kostum dan solekan khas sehingga 12 jam setiap hari.

“Sebanyak 80 peratus jalan cerita memaparkan watak saya gemuk. Jadi, saya perlu memakai kostum itu untuk tempoh lama.

“Bahagian muka pula diletakkan silikon untuk menampakkan wajah gemuk,” katanya.

Biarpun kostum terbabit tidak berat kerana diperbuat daripada span, Puteri berkata, cuaca panas membuatkan badannya kurang selesa.

“Saya rasa berlengas dan badan gatal-gatal. Ketika penggambaran salah satu babak, saya dikehendaki memakai baju panas tebal kerana pakaian itu saja sesuai untuk saiz badan watak.

“Untuk memakai kostum dan solekan khas memakan masa selama empat jam,” katanya.

Oleh sebab persiapan berubah kepada wataknya memerlukan tempoh lama, Puteri akan tiba di set penggambaran pada jam 5 pagi.

“Saya akan bersahur dulu dan kadang-kadang tidur dalam kereta sementara menunggu jurusolek tiba.

“Penggambaran pula hingga jam 11 malam dan apabila saya tiba di rumah sudah jam 1 pagi,” katanya.

Bekas guru pelatih itu turut mengakui pada mulanya rasa rendah diri kali pertama melihat penampilannya berbadan besar.

“Sewaktu kecil, badan saya pernah gempal, namun menjadi kurus apabila usia semakin meningkat. Bagi menjiwai watak ini, saya ada membuat beberapa rujukan,” katanya.

Cuma kawan biasa

Bercerita mengenai kehidupan peribadinya pula, Puteri mengakui hatinya belum berpunya.

Puteri turut menepis khabar angin mengatakan dia bercinta dengan ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.

Katanya, khabar angin itu dipercayai timbul kerana ahli perniagaan terbabit dikenali ramai.

“Mengenai hubungan dengan Faisal, kami sekadar rakan biasa.

“Mungkin disebabkan dia status orang kenamaan dan terkenal, orang ramai terus mengaitkan saya dengannya,” katanya.

Menurut Puteri, dia sudah lali dengan pertanyaan orang mengenai hubungannya dengan Faisal.

“Saya belum ada teman lelaki dan terbuka untuk berkenalan dengan sesiapa saja.

“Selain itu, saya bukan jenis memilih teman lelaki. Cuma masih single kerana terlalu sibuk dengan karier seni dan tiada masa untuk bercinta,” katanya.

Mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Puteri turut sibuk dengan promosi filem Pulang selain terbabit dengan kempen Terima Kasih Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN).

“Sepanjang Ramadan saya bekerja dan akan berehat untuk menyambut Aidilfitri di kampung halaman ibu di Negeri Sembilan,” katanya.

Menurutnya, paling dinantikan setiap Aidilfitri adalah masakan rendang ayam neneknya.

“Rendang ayam nenek sangat enak. Selain itu, membakar lemang menjadi tradisi keluarga saya setiap kali Aidilfitri,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 9:17am
d