utama

Bakti setulus hati

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Baru berusia 34 tahun, namun beliau mengetuai rangkaian syarikat pelbagai bidang sebagai tokoh korporat dan pada masa sama mengetuai misi kemanusiaan di negara bergolak seperti Syria serta Palestin.

Terbaru, beliau menjadi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sekali gus mencatatkan dirinya individu termuda menyandang jawatan itu.

Itu kelebihan dimiliki Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby yang bukan saja menguruskan perniagaan di pejabat, tetapi juga berada di medan konflik untuk membantu ratusan ribu pelarian.

Dengan kepelbagaian pengalaman, beliau menjadi rujukan pelbagai pihak sama ada swasta, badan kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk merangka pelan strategik dan menyusun idea penting.

Menurutnya, beliau pernah diculik pengganas selama lima jam ketika berada di Syria pada 2014 dan nyaris maut akibat serangan udara ketika melaksanakan misi kemanusiaan di kawasan pertempuran di Aleppo.

Katanya, selain itu, beliau pernah terperangkap di Gaza selama 12 hari pada 2012 ketika krisis Israel-Palestin memuncak dan dia berada di sana untuk menguruskan bantuan kecemasan kepada penduduk Gaza bersama Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

“Pernah ditanya saudara Syria dan Gaza akan kenapa saya dan sahabat sanggup menempuh segala ujian hidup mati untuk bantu mereka? Saya lantas menjawab kerana kami adalah rakyat Malaysia.

“Lalu mereka memeluk erat dan menangis kerana terharu dengan jawapan spontan itu.

“Niat saya melakukan semua ini kerana merasakan ummah perlu mempunyai pelan strategik jangka panjang untuk bantuan pembangunan semula khususnya pendidikan dan saya rasa saya boleh membantunya.

“Syria sudah 20 kali kami masuk untuk laksanakan misi bantuan ke bandar konflik seperti Aleppo, Hama, Idleb dan Azaaz.

“Pengalaman melaksana misi bantuan termasuk Sudan, Lubnan, Mesir, Gaza, Arakan-Rohingya dan Kosovo semua sekali 60 kali dan bukanlah mudah kerana saya perlu memastikan jaringan dengan rakan gabungan di sini rasmi serta dipercayai.

“Tetapi setakat hari ini, Alhamdulillah, semua misi yang saya sertai dan terajui disempurnakan mengikut objektif dikehendaki. Kita bekerjasama secara rasmi bersama Agensi Wakaf Kerajaan Turki dan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Turki, manakala untuk Gaza pula, kita adalah rakan kerjasama berdaftar di bawah OIC.

“Banyak lagi yang saya hasratkan untuk pembangunan ummah, saya takkan berhenti walaupun pernah diancam pelbagai ugutan,” katanya yang juga Ketua Misi Bantuan Kemanusiaan Rescue-Syria MAPIM sejak lima tahun lalu.

Beliau yang boleh berbahasa Arab dan Inggeris turut dilantik sebagai Naib Presiden NGO Pendidikan Antarabangsa Organisasi Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO), Presiden Kehormat Youth For Syria (Y4S) dan Board Of Trustee, Kesatuan NGO Kemanusiaan Syria (ITIHAD) yang menaungi 200 NGO kemanusiaan Syria, sekali gus satu pencapaian tertinggi aktivis kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, beliau juga dinobatkan sebagai Tokoh Anugerah Khas (Anak Muda) Maulidur Rasul 1435H Peringkat Negeri Pulau Pinang dan menempa nama sebagai penerima tunggal Ijazah Kehormat Doktor Kesukarelawan dan termuda dalam sejarah 95 tahun SITC-UPSI yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada Majlis Istiadat Konvokesyen UPSI kali ke-19, tahun lalu.

Antara jawatan penting lain termasuklah dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pemacu Plan Strategik serta Jawatankuasa Pelaburan dan Wakaf Universiti di peringkat lembaga pengarah.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 9:46am
d