utama

'Mereka sah bercinta'

Oleh Georgie Joseph

Tiada rahsia lagi! Penyanyi Nick Jonas semakin terbuka menyatakan rasa kagumnya terhadap aktres jelita Priyanka Chopra.

Terbaru, Nick, 25, memuji foto yang dimuatkan naik aktres itu di Instagram. Bintang utama siri Quantico itu merakamkan gambar ketika makan dan ketawa bersama beberapa rakan.

“Senyuman itu,” tulis Jonas yang disertakan emoji berbentuk hati berwarna merah.

Ia bukan kali pertama pasangan itu menunjukkan kasih sayang mereka di media sosial.

Priyanka, 35, sebelum ini pernah meninggalkan komen emoji berbentuk hati berwarna merah jambu dan api pada foto penyanyi Close itu.

Jonas dan Priyanka pertama kali dilihat bersama pada 31 Mei lalu selepas khabar angin mereka hangat bercinta tersebar.

Mereka keluar bersama untuk makan malam di Toca Madera, West Hollywood. Menurut sumber, pasangan berkenaan cukup mesra dan masing-masing dilamun cinta.

“Mereka saling menyukai. Mereka bergurau senda, tersenyum manis dan menari,” kata sumber terbabit.

Pasangan itu dilihat keluar makan malam bersama selepas beberapa hari mereka disahkan bercinta.

“Mereka sah bercinta dan hubungan itu masih baru. Mereka pasangan yang secocok,” kata sumber.

Sebelum ini, hangat diperkatakan pasangan itu meluangkan masa bersama pada sambutan Memorial Day Weekend.

Mereka dikatakan hadir ke acara itu bersama namun tiada aksi berpegangan tangan atau sentuhan mesra dipamerkan.

“Mereka menghilang selepas persembahan berakhir,” kata saksi di lokasi.

Keesokan harinya, mereka dilihat ke Stadium Dodgers, Los Angeles dan kelihatan sangat mesra.

“Mereka tidak menyembunyikan kemesraan di depan khalayak. Dari jauh nampak mereka berbisik dan bergelak ketawa. Mereka juga menyapa orang di sekeliling dan kelihatan sangat gembira,” kata sumber.

Jonas sebelum ini pernah bercinta dengan pemenang Miss Universe 2012, Olivia Culpo namun hubungan itu berakhir pada 2015.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 3:23am
d