utama

'Pulangkan duit saya'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

GARA-gara terlalu percayakan rakan yang dilantik menjadi ejen menguruskan soal pelantikan duta produk, pengacara popular, Awal Ashaari tampil menuntut baki bayaran mencecah puluhan ribu ringgit daripada individu terbabit.

Awal, 37, berkata, usaha mendapatkan hak miliknya berdepan masalah kerana individu terbabit cuba lari dengan tidak membalas mesej, panggilan dan emel.

"Perkara itu sudah berlarutan hampir setahun. Sebelum ini saya berdiam diri dan tidak buat apa-apa sebab percayakannya sebagai rakan lagi pula kami ada kontrak. Namun, sebaliknya berlaku kerana dia pijak kepala. Malah, dia pergunakan saya dan isteri.

"Apabila saya minta hak kami, dia boleh kata duit sudah tidak ada. Sebelum ini saya bagi kelonggaran untuk dia simpan jadi duit itu sepatutnya ada. Tetapi dia cakap sudah digunakan untuk buat perniagaan lain.

"Itu duit dan hak saya, kenapa pula digunakan untuk perkara lain dan kepentingan sendiri. Sekarang saya pula kena meminta-minta macam peminta sedekah," katanya kepada Harian Metro.

Awal yang dilantik sebagai duta automobil, Weststar Maxus bersama isterinya, Scha Alyahya dan anak mereka, Lara Alana, berkata, pendedahan dibuat kerana tidak mahu ada artis lain terkena dengan individu sama.

Malah, Awal tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya baki bayaran dituntut tidak dipulangkan dalam masa terdekat.

"Saya terkilan sebab dia orang industri juga. Dia adalah agensi dan pada masa sama menguruskan pasangan selebriti lain. Jadi, saya tak nak ada mangsa lain terkena.

"Saya boleh saja beritahu pasangan artis berkenaan, mengenai sikap pengurus terbabit tetapi saya tak nak tutup periuk nasi dia.

"Jadi, buat masa sekarang saya masih proses meminta. Kalau tidak dapat juga, saya terpaksa ambil tindakan sebab membabitkan jumlah banyak," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 1:49pm
d