utama

Sudah takdir ajal bersama

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

DUA maut manakala enam parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pikap di Kilometer 92 Jalan Ipoh-Butterworth, dekat Taman Selinsing Indah, Bagan Serai, petang hari ini.

Pemandu Perodua Bezza yang juga orang kurang upaya (OKU), Jubidi Johari, 62, dan pasangannya yang duduk di kerusi penumpang hadapan, Che 'Noriah Nawari, 58, yang berasal dari Tebuk Haji Dollah, Selinsing, Bagan Serai, meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara, dua lagi penumpang kenderaan itu dipercayai cucu kepada mangsa cedera parah.

Manakala empat mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux turut parah.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata polis masih menyiasat punca kejadian itu.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Abdul Jalil Nasir, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.01 petang.

Beliau berkata, tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Zainuddin Mohd Nordin segera ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat mangsa yang terperangkap.

“Kemalangan membabitkan Toyota Hilux dengan Perodua Bezza dan mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Manakala enam mangsa cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan operasi tamat pada 5.12 petang,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 9:13pm
d