utama

Benteng tak kukuh

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Lebih 80 hektar tanah pertanian di Kampung Bagan Laut, Rengit, dekat sini, ditenggelami air laut sejak setahun lalu menyebabkan risiko kemusnahan lebih besar terhadap daratan dan penduduk.

Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, pihaknya akan membawa aduan penduduk kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan peruntukan membina benteng batu di sepanjang perairan Rengit-Batu Pahat diluluskan secepat mungkin.

“Saya menerima aduan ini daripada penduduk dan sebaik mengetahuinya, saya turun ke lokasi bersama penduduk bagi melihat sendiri masalah yang berlaku termasuk 100 penama pemilik membabitkan 80 hektar tanah pertanian di Kampung Bagan Laut yang terjejas apabila tanaman mereka musnah dinaiki air laut dan tenggelam.

“Saya difahamkan benteng luar ini pecah sudah setahun lebih dan tiada kerja baik pulih dijalankan, kalau dulu 20 meter sekarang panjangnya sudah 50 meter seperti yang kita lihat,” katanya di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bagan Laut, baru-baru ini.

Beliau berkata, benteng tanah terbabit dibina penduduk 20 hingga 30 tahun lalu dan walaupun tidak pecah keseluruhannya, namun strukturnya tidak kuat untuk menahan tekanan ombak terutama ketika air pasang besar.

“Apabila benteng pecah akan jadi konsep domino dan merebak, sekarang ini tiada kerja penyelenggaraan, cuma sejak 2016 apabila ada kejadian benteng pecah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapat peruntukan tetapi dalam bentuk kerja sementara untuk menahan benteng yang pecah daripada merebak,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Daerah JPS Batu Pahat Mohd Asnawi Sulaiman berkata, pihaknya mencadangkan pembinaan benteng batu membabitkan kos RM5 juta bagi mengatasi hakisan pantai di kawasan berkenaan.

Katanya, benteng berkenaan terbukti berkesan menghalang kesan lebih serius seperti benteng batu yang dibina di perairan Minyak Beku dan Tanjung Labuh, di sini.

“Cara paling terbaik untuk mengatasi masalah berkenaan adalah membuat benteng batu. Kalau ombak besar dan pokok bakau semakin mati serta hampir ke darat, lebih baik kita guna benteng batu dan jika ombak tinggi, batu boleh pecahkan ombak. Contoh terbaik seperti di Minyak Beku, Tanjung Labuh, dekat sini.

“Anggaran kos secara kasar bagi membina benteng batu adalah mencecah RM5 juta untuk satu kilometer dan di perairan Bagan Laut panjang pantainya mencecah tiga kilometer, namun perlu diingat ada faktor perubahan cuaca, ombak tinggi, turut mempengaruhi kos pembinaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 4:53am
d