utama

Pulangkan bayi aku...

Oleh Badrul Kamal Zakaria

BAYI perempuan berusia 17 bulan dilarikan individu yang memecah masuk ke kediaman keluarga mangsa di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap di Muar, hari ini.

Kehilangan mangsa, Nur Aisyah Hasmizan itu disedari oleh ibunya, Siti Noorfadilah Yusofe, 30, kira-kira jam 5 pagi tadi ketika membantu menyiapkan makanan bersahur untuk anak sulungnya.

“Sebelum kejadian, saya ada bersama dengan Nur Aisyah di dalam bilik kerana menonton televisyen dan apa yang saya ingat, saya menutup televisyen kira-kira jam 3 pagi sebelum saya tidur bersama Nur Aisyah, ketika itu tiga lagi anak, suami dan ibu saya juga sudah tidur.

“Kemudian, kira-kira jam 5 pagi, ibu saya bangun bersahur dan menyedari pintu bahagian belakang terbuka tetapi tidak mengesyaki apa-apa. Ketika itu, saya belum menyedari Nur Aisyah tiada di tempat tidurnya kerana menyiapkan makanan untuk anak sulung bersahur.

“Hanya ketika masuk semula ke dalam bilik, baru saya sedar Nur Aisyah tiada di tempatnya. Kami cuba mencarinya di sekitar rumah kerana dia sudah boleh berjalan tetapi gagal menemuinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap di Muar, hari ini.

Noorfadilah berkata, pemeriksaan lanjut mendapati individu yang memecah masuk ke rumahnya itu hanya mengambil dua telefon bimbit dan melarikan anak bongsunya tanpa mengambil barangan berharga lain seperti beg tangan.

Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Pasir dan turut mengambil inisiatif memuat naik kejadian itu di media sosial bagi memohon bantuan orang ramai mengesan kedudukan anaknya.

“Tolonglah pulangkan anak saya, saya sayang anak saya. Saya tak tahu ada orang berdendam kepada saya. Nur Aisyah anak yang baik, saya risau anak saya sudah makan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan pihaknya masih melakukan siasatan secara menyeluruh.

Tinjauan NSTP mendapati orang ramai termasuk saudara dan kenalan mula hadir ke kediaman mangsa untuk memberi sokongan kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, beberapa anggota polis dilihat masih melakukan siasatan lanjut di sekitar kawasan rumah mangsa dan turut menggunakan unit anjing pengesan K-9 bagi mengesan kedudukan Nur Aisyah.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 1:25pm
d