utama

[UPDATE] Saya tak tau apa motif dia...

Oleh Badrul Kamal Zakaria

“SAYA jarang tidur awal, kadang-kadang sampai ke waktu Subuh pun saya masih tidak tidur. Selain itu, saya mudah terjaga dari tidur, kalau bunyi pintu terbuka pun saya akan terjaga.

“Tapi awal pagi tadi, saya tak dengar apa-apa ketika walaupun anak bongsu saya yang berada di sebelah dibawa lari oleh individu yang tidak dikenal pasti,” kata Siti Noorfadilah Yusofe.

Siti Noorfadilah, 30, ibu kepada Nur Aisyah Hasmizan, 17 bulan, yang dibawa lari oleh individu tidak dikenali selepas memecah masuk kediaman mangsa awal pagi tadi berkata, dia juga jarang tidur awal kerana sering berjaga hingga ke waktu Subuh.

Katanya, selain itu, dia bersama suami dan empat anaknya juga akan tidur dengan ibu dalam bilik yang sama berikutan keadaan kesihatan ibu yang agak menurun dan agak mustahil jika ada orang lain masuk ke dalam bilik tanpa disedari.

Tambahan pula, individu yang mahu mengambil Nur Aisyah perlu melangkaui anak sulung dan ibu beliau yang tidur di atas tilam yang diletakkan di lantai, manakala dia bersama suami dan tiga anaknya di atas katil dengan Nur Aisyah betul-betul di sebelahnya.

Katanya, sebelum kejadian, dia membawa ibu, Minah Basiran, 68, keluar ke bandar untuk makan sempena hari lahir ibu, manakala semua anak yang berusia setahun hingga 10 tahun termasuk Nur Aisyah tidak dibawa bersama kerana ditinggalkan tidur bersama suaminya, Hasmizan Othman, 35, di rumah.

“Saya pulang ke rumah kira-kira jam 2 pagi. Lepas sampai rumah, mak terus tidur manakala saya menonton televisyen di bilik tidur sama. Entah kenapa, saya mengantuk malam tadi dan saya menutup televisyen di kira-kira jam 3 pagi dengan anak bongsu tidur bersebelahan di sisi saya.

“Saya hanya menyedari kehilangan anak bongsu saya pada jam 5 pagi. Pada mulanya saya tak perasan ketiadaan anak bongsu saya itu kerana sekadar bangun selepas mak memberitahu pintu belakang rumah terbuka dan juga untuk menyiapkan makanan bijirin untuk anak sulung saya bersahur.

“Selepas itulah saya masuk bilik dan mendapati Nur Aisyah tiada di atas katil. Saya cuba mencarinya di serta tempat di dalam rumah termasuk di bawah katil tetapi tiada. Keadaan dalam rumah pun tidak berselerak seperti dipecah masuk kecuali dua telefon bimbit saya dan anak hilang.

“Bagaimanapun, beg tangan saya yang mengandungi dompet saya dan mak pula tidak diambil pula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap di Muar, hari ini.

Siti Noorfadilah berkata, dia tidak tahu apa motif individu terbabit yang membawa pergi anak bongsunya itu kerana beliau tidak pernah bergaduh, bermusuh atau berlaku perkara yang tidak baik dengan lain dan sehingga kini pun beliau tidak tahu untuk mengesyaki sesiapa kerana tidak mempunyai musuh.

Berita berkaitan

Pulangkan bayi aku...n

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 5:45pm
d