utama

Melaram dengan kereta baru

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Aidilfiri yang bakal disambut minggu depan memberikan makna berbeza buat pasangan selebriti popular Awal Ashaari, Scha Alyahya dan anak mereka, Lara Alana.

Kegembiraan dirasai lebih kepada nikmat rezeki yang diperoleh keluarga terkenal ini apabila tidak putus dilantik sebagai duta beberapa produk.

Biarpun Awal mendedahkan menjadi mangsa penipuan rakan sendiri apabila baki bayaran sebagai duta sebuah produk belum diberikan, dia bersyukur kerana rezekinya dan keluarga semakin murah.

Selain kekal mewakili beberapa jenama, terbaru keluarga ini dilantik sebagai duta automobil Weststar Maxus G10 malah Awal dipilih sebagai duta Secret Recipe.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki. Apabila dikenali, saya dan isteri kena jaga nama serta imej kami. Perkara sebegini akan meyakinkan pihak lain untuk bekerjasama dengan kami.

“Pada masa sama, kami komited dengan setiap tawaran kerja. Daripada situ, kami perlu jaga jenama kami anak beranak. Bukan mudah sebenarnya nak bawa nama keluarga. Jadi, kami tidak boleh sambil lewa. Setiap perkara kena seiring.

“Meski kena mempromosikan banyak produk dalam satu masa, saya okey dan ‘enjoy’. Malah ia sudah menjadi sebahagian daripada kerja. Isteri saya selalu ingatkan agar jangan terlepas untuk memuat naik promosi. Pendek kata, kami jaga kualiti setiap komitmen diberikan. Saya percaya, ada sebab orang lantik kami,” katanya.

Berkongsi kegembiraan apabila dapat melaram dengan kereta baru pada Aidilfitri nanti, Awal mengakui tidak menjangka dia dan keluarga dilantik sebagai duta selepas menggunakan kenderaan pelbagai guna itu sejak tahun lalu.

“Sejak ada Lara saya mencari kereta yang lebih besar dan tahun lalu saya beli Maxus G10 dan pada awal tahun ini tiba-tiba dapat panggilan mereka ingin ‘upgrade’ kenderaan kami dengan model baru.

“Ketika berjumpa pihak pengurusan Weststar Maxus, mereka menawarkan saya sekeluarga sebagai duta.

“Saya bersetuju kerana selain rezeki ia menambahkan lagi profil kami kerana belum pernah jadi duta automobil. Ini antara yang besar. Sebelum ini pihak mereka bekerjasama dengan artis dalam sosial media saja dan ini kali pertama menggunakan khidmat duta,” katanya.

Raya meriah

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri, Scha berkata segala persiapan diserahkan kepada dirinya.

“Bahagian dalam rumah, setiap tahun Awal serahkan kepada saya. Contoh, dekorasi, langsir dan karpet.

Mungkin Awal berasakan saya lebih arif dalam soal ini.

“Kalau nak tahu, setiap kali nak raya memang meriah sebab setahun sekali dapat pakai barang baru. Orang lain mungkin tukar tiga atau enam bulan sekali, tetapi kami tidak. Jadi, disebabkan itu, setiap kali menjelang raya kami memang sakan.

“Orang lain akan fikir mengenai baju, tas tangan dan barang kemas. Kami pula lebih pentingkan langsir dan karpet,” katanya.

Baju raya pula, Scha berkata cukup untuk sambutan Aidilfitri selama sebulan. Malah, tahun ini sekali lagi persalinan mereka disediakan pihak Jakel yang turut bekerjasama dalam menghasilkan koleksi lebaran 2018.

Tambah Scha, sambutan kali ini lebih istimewa kerana Lara sudah pandai bergaya.

“Lara sudah pandai minta bukan-bukan. Dia juga tidak mahu keluar rumah kalau tak bergaya. Kalau perasan di Instagram Story kami, dia suka sangat bersolek, bergaya depan cermin dan memakai kasut tinggi.

“Kami okey dan layankan saja tetapi tidak menjadikan ia satu kebiasaan. Kalau tak kena gaya, tidak boleh juga,” katanya yang beraya di Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 6:14am
d