utama

Korban tidur jahit baju

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Minggu terakhir Ramadan pastinya menjadi masa paling sibuk bagi tukang jahit kerana perlu memastikan semua tempahan dapat disiapkan, jadi tidak hairan ada yang sanggup bersengkang mata demi menyiapkannya.

Begitu juga tukang jahit, Nur Amiera Abd Razak, 25, yang giat menyiapkan tempahan pelanggan kerana bimbang tidak dapat disiapkan menjelang Aidilfitri.

Nur Amiera berkata, waktu tidurnya kini kurang enam jam dan ia sudah menjadi rutin baginya setiap kali tiba Ramadan dan apabila Syawal kian menjelma.

“Saya mula mengambil tempahan sejak Disember lalu dan tempahan ditutup sejak dua bulan lalu kerana bimbang tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi kerana perlu menyiapkannya seorang diri.

“Sebanyak 100 pasang baju raya yang ditempah sejak Disember lalu perlu disiapkan sebelum Aidilfitri dan separuh daripadanya sudah siap serta diserahkan kepada pelanggan,” katanya di kediamannya di Perumahan Bukit Rangin Perdana di sini, semalam.

Pada tahun ini, katanya, dia mengehadkan kepada 100 pasang baju raya saja kerana mahu menjaga mutu jahitan supaya semua tempahan dapat disiapkan sebelum Aidilfitri.

“Selain menjahit pakaian tradisional wanita seperti baju kurung, kebaya dan jubah, saya juga mahir menjahit pakaian lelaki seperti baju Melayu dan kurta dengan mengenakan upah yang berpatutan bermula RM45 hingga RM90,” katanya.

Nur Amiera berkata, selain daripada pelanggan yang sudah biasa dengan hasil jahitannya, perniagaannya turut mendapat perhatian pelanggan dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Katanya, dia juga menerima tempahan daripada pelanggan di luar daerah yang mengetahui mengenai perniagaannya ini melalui promosi mulut ke mulut.

“Pada awalnya saya hanya menjangkakan pelanggan tertumpu di kawasan sekitar daerah ini, tetapi tidak sangka rezeki tersebar ke negeri lain juga.

“Kebanyakan mereka mengetahuinya daripada perbualan dengan rakan yang sememangnya pelanggan tetap saya. Ia secara tidak langsung membantu meningkatkan jumlah tempahan terutama menjelang musim perayaan ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 6:47am
d