utama

Buang perasaan bimbang

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Sepanjang membuat persediaan menjayakan konsert sulung yang akan berlangsung pada 13 Julai depan di Esplanade, Singapura, ada satu perkara yang membuat­kan Liza Hanim sedar betapa peminatnya selama ini sa­ngat mendukung kerjaya seni yang diceburinya sejak 20 tahun lalu.

Walaupun dia pernah ‘hilang’ seketika bagi memberi tumpuan kepada keluarga, ternyata bakat dimiliki pe­nyanyi yang mula dikenali dengan lagu Getaran Cinta Di Jiwa itu tidak pernah hilang dari hati peminat.

Bercerita mengenai perkara itu, Liza berkata, sewaktu dia bertanya kepada peminatnya, apakah lagu dendangannya yang mahu didengar, mereka menyenaraikan beberapa lagu yang dia sendiri sudah lupa pernah dihasilkan dan dimuatkan dalam album sebelum ini.

“Semuanya bermula ketika saya menjayakan persembahan sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini. Memandangkan saya tidak tahu lagu apa yang mahu dinyanyikan, saya meminta peminat memberikan cadangan.

“Pelbagai cadangan lagu diberikan, malah ada antara lagu yang mereka minta dinyanyikan itu saya sendiri dah lupa yang saya pernah rakam. Contohnya lagu Biarkan Aku Merinduimu.

“Lagu itu dimuatkan dalam album ketiga saya. Sebenarnya lagu itu memang tidak pernah ada dalam senarai untuk dinyanyikan setiap kali mengadakan persembahan.

“Mereka yang meminta saya mendendangkan lagu itu pula bukan seorang dua, malah boleh dikatakan hampir 50 peratus. Nampaknya ia akan berada dalam senarai lagu yang perlu saya nyanyikan selepas ini,” katanya.

Menurut Liza, situasi itu membuatkan dia benar-benar yakin mereka adalah peminat tegar dan mende­ngar setiap lagunya dengan begitu terperinci.

Pada konsert itu nanti, Liza juga akan berkongsi pentas dengan Aishah dan berduet dalam satu segmen khas. Datuk Ramli M S pula akan bertindak sebagai pe­ngarah muzik.

Ditanya adakah dia bimbang untuk mengadakan konsert besar yang pertama kali diadakan ini, Liza berkata, sudah tentu wujud sedikit kebimbangan dalam hati.

“Pertamanya saya mesti pastikan stamina berada dalam tahap terbaik. Ini kerana pentas di Esplanade agak besar berbanding lokasi persembahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Dalam konsert ini saya perlu menyanyikan lebih daripada 10 lagu. Apabila membayangkan itu membuatkan ada sedikit timbul perasaan gementar,” katanya.

Liza berkata, dia positif dan berusaha memberikan yang terbaik.

Bagi membuang perasaan bimbang itu, dia sudah membuat persediaan awal dengan meneliti semua senarai lagu yang mahu didendangkan dan sesi latihan sudah dibuat awal.

“Sepanjang Aidilfitri ini saya tidaklah dapat beraya sakan. Ini kerana saya perlu memberikan tumpuan kepada latihan,” katanya.

Apa yang menarik, tiket konsert terbabit dikatakan hampir habis dijual.

“Maklum balas yang diberikan pihak Esplanade membuatkan semangat saya berkobar-kobar dan mahu memberikan yang terbaik buat peminat,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 6:55am
d