utama

Rintihan anak 'hilang' baju raya

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“MAK, kenapa ada orang ambik baju adik.” Begitu luahan kanak-kanak lelaki Hafizi Hazman, 4, selepas baju raya yang dibeli ibu bapanya di sebuah pasar raya di Arau diambil individu lain, petang semalam.

Ibunya Nurul Hidayu Yaidin, 26, yang memuat naik status 'hilang baju raya’ di Facebook berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mencuba pakaian untuk anaknya sebelum menyedari bungkusan yang ditinggalkan di atas rak, hilang.

Katanya, pakaian itu dibeli pasar raya lain yang berdekatan sebelum singgah di pasar raya berkenaan untuk membeli baju lain untuk dipakai pada hari raya nanti.

“Saya letakkan bungkusan itu di atas rak pakaian lalu saya pilih baju dan cuba. Suami saya pun ada berdekatan, bila nak ambil semula (bungkusan), saya dapati ia sudah hilang.

“Saya kemudian bertanya kepada petugas dan pengurusan pasar raya. Bila dilihat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) nampak ada orang yang ambil.

“Dalam soal ini, saya bukan nak tuduh, (tetapi) mungkin dia tak sengaja. Tetapi kalau boleh pulangkan balik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurul Hidayu berkata, walaupun harga baju berkenaan tidak terlalu mahal, namun dia terkilan mengenangkan bagaimana anak lelakinya teruja ketika memilih seluar jeans, seluar pendek, sepasang t-shirt berwarna hijau dan hitam sebagai baju raya, tahun ini.

“Semuanya berjumlah RM108. Saya boleh beli (pakaian) lain, tetapi mungkin susah nak dapat saiz sama kerana anak saya berisi sikit. Kalau ada yang terambil, boleh hubungi saya di talian 013-4207671,” katanya.

Status yang dimuat naik Nurul di Facebook mendapat pelbagai komen daripada netizen yang mengharapkan semua pakaian itu dipulangkan kepadanya semula.

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 1:39pm
d