utama

[UPDATE] Alhamdulillah, dapat semula baju raya anak

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“ALHAMDULILLAH, orang yang ambil baju raya anak saya dah pulangkan tadi. Dia tak sengaja sebab kebetulan dia membeli-belah di kawasan sama.

“Orang yang ambil minta maaf, saya maafkan, saya tahu dia tak berniat nak ambil. Dia sudah terangkan apa yang berlaku. Yang penting, anak saya dapat baju diinginkannya semula,” kata Nurul Hidayu Yaidin.

Menurutnya, dia dihubungi seorang wanita selepas membaca kisahnya yang tular di media sosial, hari ini dan mengaku dia terambil bungkusan mengandungi pakaian milik orang lain.

Katanya, bungkusan terbabit sudah diserahkan selepas berbuka puasa malam ini dan kebetulan, mereka memang mengenali antara satu sama lain.

“Saya kenal (orang yang ambil). Dia tak sengaja ambil bungkusan milik saya di atas rak baju. Kebetulan, kami sedang memilih baju di tempat sama.

“Suaminya ada berdekatan, jadi dia sangkakan, suaminya yang punya,” katanya kepada Harian Metro.

Kisah Nurul Hidayu yang kehilangan pakaian raya anaknya disiarkan portal berita Harian Metro, hari ini selepas dia memuat naik status mengenai kejadian itu di Facebook miliknya, semalam.

Katanya, dia akan ke pasar raya berkenaan bagi menjelaskan apa yang berlaku bagi mengelakkan masalah lain timbul ekoran kejadian itu.

“Alhamdulillah, anak saya dapat berhari raya dengan baju kegemarannya. Dia nampak seronok tadi.

“Apapun, terima kasih kepada semua pihak yang menghubungi saya untuk membantu,” katanya.

Berita berkaitan

'Rintihan anak 'hilang' baju raya'

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 9:35pm
d