utama

Tiada katil nak tidur

Oleh Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Pekerja asing dilayan umpama hamba abdi apabila dibiarkan tidur di lantai beralaskan kain nipis tanpa tilam dan bantal.

Itu tindakan zalim dibongkar pihak berkuasa melalui serbuan dan Operasi Patuh (Op Patuh) di beberapa restoran sekitar Desa Petaling, Sri Petaling dan Bukit Jalil di sini, semalam.

Perkara itu didedahkan hasil operasi dijalankan Penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di enam restoran yang didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kerja 1955.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataannya berkata, seramai 30 anggota penguat kuasa JTKSM diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM Asri Ab Rahman menyerbu beberapa restoran di sekitar Desa Petaling, Sri Petaling dan Bukit Jalil di sini.

“Ops Patuh yang dijalankan itu bertujuan memastikan tahap pematuhan majikan terhadap undang-undang perburuhan yang tertakluk dalam Akta Kerja 1955, Akta Pampasan Pekerja 1952, Perintah Gaji Minimum 2016, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Garis Panduan Standard Minimum Penginapan Pekerja Asing.

“Dalam operasi kali ini, enam restoran diperiksa dan majikan didapati melakukan pelbagai perlanggaran undang-undang mengikut Akta Kerja 1955,” katanya

Menurutnya, kebanyakan majikan didapati gagal mematuhi garis panduan ditetapkan antaranya menyediakan kemudahan asas seperti katil dan tilam untuk pekerja.

“Ini terbukti apabila ada antara pekerja ditemui tidur di atas lantai dengan berbantalkan lengan dan beralaskan kain sahaja.

“Tiada tilam disediakan dan mereka tidak diberikan kemudahan sewajarnya. Majikan yang gagal mematuhi garis panduan ini akan disenarai hitam untuk mendapatkan kelulusan permohonan pekerja asing.

“Kementerian Sumber Manusia dan JTKSM akan meningkatkan pemeriksaan ke premis penggajian bagi memastikan pematuhan sepenuhnya undang-undang perburuhan negara dan hak-hak pekerja terpelihara,” katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, tindakan undang-undang termasuk pendakwaan akan diambil ke atas majikan yang didapati melanggar peruntukan yang ditetapkan dan boleh didenda maksimum sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan yang disabitkan.

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 6:37am
d