utama

Pakar patologi terhormat

Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: Kebaikan hati ayahnya menjadi inspirasi kepada penerima anugerah Profesor Ulung pada 2010, Profesor Datuk Dr Looi Lai Meng, 68, untuk menceburkan diri dalam bidang perubatan dan perkhidmatan awam.

Menurut Dr Looi yang bertugas sebagai Perunding Kanan Histopatologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya, minatnya terhadap bidang sains dan perubatan tercetus apabila kerap mengikuti ayahnya bekerja di sebuah hospital di Bentong, Pahang.

“Ayah saya bekerja sebagai pembantu hospital. Saya selalu menemaninya dan kagum melihat semangatnya untuk membantu orang.

“Walaupun ayah selalu sibuk, tetapi dia penyabar orangnya. Dia sangat baik hati dan selalu menolong sesiapa saja yang datang ke hospital tidak kira siang atau malam.

“Perkara itulah yang membangkitkan semangat saya menjadi doktor perubatan,” kata anak keempat dari enam beradik ini.

Selain anugerah Profesor Ulung, Dr Looi juga pernah menerima Anugerah Merdeka (Kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi) pada 2016, Anugerah Sains Kebangsaan, Anugerah Saintis Cemerlang ASEAN dan WASPaLM’s Gold-Headed Cane (2015).

Menurutnya, beliau suka mengingatkan anak muda di Malaysia agar sentiasa percaya pada diri sendiri dan yakin boleh membuat perubahan atas usaha sendiri.

“Mesej ini yang selalu saya tanam pada diri untuk mencapai segala impian atau kejayaan. Kita perlu bersedia dan mahu belajar serta berfikir di luar kotak.

“Apa yang penting, jangan takut dengan cabaran kerja. Saya juga dibesarkan di perkampungan kecil di Bentong. Semua itu bukan halangan untuk saya berjaya,” katanya.

Dr Looi juga menganggap mendiang Kesavan Prathap, Profesor Patologi dan Ketua Jabatan Patologi Universiti Malaya (UM) sebagai contoh dan idola buat dirinya dalam bidang patologi.

“Dia seorang yang mementingkan kesempurnaan. Sesiapa yang pernah bekerja dengannya pasti tahu etika kerjanya termasuk contoh kejayaan yang dimiliki,” katanya.

Dalam bidang perubatan, sumbangan Dr Looi sangat dihormati terutama dalam bidang patologi.

Malah, hasil didikannya, beliau berjaya menambah bilangan ahli patologi daripada 30 orang pada 1970-an kepada 400 profesional bidang itu setakat ini.

Selain itu, beliau juga mempunyai 380 terbitan akademik termasuk 180 penerbitan saintifik yang dikaji semula dengan menerima lebih daripada 2,200 petikan dan menyampaikan lebih daripada 600 kertas kerja di mesyuarat saintifik, seminar dan bengkel serta lebih daripada 400 kali sebagai pensyarah jemputan.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 9:08am
d