utama

Jom balik kampung

Oleh Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Tinggal empat hari lagi sebelum sambutan Aidilfitri pada Jumaat ini, orang ramai dilihat mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bercuti terutama yang menggunakan perkhidmatan awam seperti bas ekspres.

Tinjauan Harian Metro di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan di sini, semalam mendapati ramai warga kota mula memenuhi terminal bas ekspres berkenaan sama ada untuk membeli tiket atau menunggu masa perjalanan.

Sehingga jam jam 2 petang semalam, keadaan di TBS masih terkawal tanpa berlaku sebarang kesesakan, bagaimanapun suasana itu dijangka mula berubah pada hari seterusnya.

Tinjauan turut mendapati kebanyakan yang berada di TBS semalam adalah kumpulan warga kota yang akan pulang awal ke kampung untuk bercuti dan kebanyakan mereka adalah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar ibu negara dan negeri berhampiran.

Nurul Husna Abd Rahman, 20, antara yang pulang awal ke kampung untuk menyambut Aidilfitri kali ini walaupun terpaksa ‘transit’ di TBS menukar bas ekspres untuk ke Manjung, Perak, dari Batu Pahat, Johor.

Menurut penuntut jurusan kejuruteraan awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat itu, dia membeli tiket lebih awal sejak minggu lalu secara dalam talian kerana bimbang tiket ke destinasi yang ditujunya habis terjual.

“Mungkin tarikh saya pulang ke kampung masih awal. Tiket bas untuk ke Manjung dari Kuala Lumpur masih ada ketika saya membelinya.

“Begitu juga tiket bas ke Kuala Lumpur dari Batu Pahat hari ini (semalam) kerana tiada perkhidmatan bas terus untuk ke Manjung dari Batu Pahat disediakan,” katanya.

Bagi Meor Muaz Meor Nadzri, 21, dia berterima kasih kepada seorang rakannya yang menuntut di ibu negara kerana menolongnya membeli tiket bas untuk pulang ke Kodiang, Kedah, sejak dua minggu lalu.

Penuntut jurusan syariah Universiti Islam Negeri Ar-Raniry, Aceh, Indonesia itu yang baru tiba dengan penerbangan dari Aceh dan menyambung perjalanan menaiki bas ekspres ke Kangar, Perlis untuk bercuti, semalam.

“Penerbangan saya tiba di klia2 kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam) dan terus ke TBS untuk sambung perjalanan ke Kangar sebelum ke Kodiang.

“Mujur beli tiket lebih awal kerana saya diberitahu banyak tiket bas sudah habis terjual pada tarikh hari ini (semalam),” katanya.

Selain orang ramai yang mahu pulang ke kampung, masih ramai juga yang ke TBS semalam mencuba nasib membeli tiket bas untuk pulang beraya pada tarikh dua atau sehari sebelum sambutan Aidilfitri.

Kebanyakan mereka kecewa kerana kebanyakan tiket bas terutama untuk perjalanan ke utara dan pantai timur sudah habis terjual.

Bagi Abd Hadie Akmal Abd Halim, 26, dia terpaksa memikirkan alternatif lain untuk pulang beraya di Kuantan, Pahang kerana tiket bas pada tarikh diinginkan sudah habis terjual sama ada di TBS mahu pun di Terminal Bas Seremban.

“Saya bekerja di Port Dickson (Negeri Sembilan) dan sudah cuba mencari tiket bas ke Kuantan dari Seremban pada Rabu ini, tetapi gagal.

“Cubaan saya mencari tiket di TBS juga gagal, m ungkin terpaksa menumpang rakan yang mahu pulang ke destinasi sama kerana cuti baru diluluskan,” katanya yang bekerja sebagai penyelia tapak.

Sementara itu, Saidatul Afifah Sabri, 20, mungkin terpaksa melupakan hasratnya untuk berhari raya bersama keluarga ibu saudaranya di Kulim, Kedah kerana cubaannya mendapatkan tiket ke destinasi itu pada hari raya pertama, gagal apabila ia sudah habis terjual.

Difahamkan, ada syarikat bas ekspres menyediakan perkhidmatan bas tambahan sempena Aidilfitri ini, namun ada yang masih menunggu kelulusan permit Lesen Perubahan Sementara (LPS) daripada pihak berkuasa.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 9:21am
d