utama

Tun M kongsi rahsia kekal sihat

Oleh HM Digital

USIA Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi subjek yang sering dibangkitkan pada lawatan kerja Perdana Menteri selama tiga hari ke Jepun.

Dr Mahathir yang bakal mencecah usia 93 tahun pada Julai ini, menjadi Perdana Menteri tertua di dunia yang dipilih selepas parti Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Terdapat dua jenis penuaan. Satu secara kronologi, berdasarkan tahun dan satu lagi adalah secara biologi. Adakalanya manusia tua dengan cepat, ada yang menua dengan lambat. Saya rasa, saya menua sedikit lambat berbanding orang lain.

“Sepertinya saya masih boleh berkelakuan normal. Saya tidak nyanyuk dan masih boleh mendengar serta menjawab soalan. Rakyat masih mahu saya memerintah negara dan saya perlu menyampaikan hasrat orang ramai.

“Saya nasihatkan supaya jangan berehat apabila sudah tua.

“Jika anda berehat, anda akan menjadi lemah dan tidak berdaya dan mungkin menjadi nyanyuk. Teruskan menjadi aktif apabila mencapai umur persaraan,” kata Dr Mahathir.

Tambahnya lagi, apa-apa yang sudah tidak dipakai akan merosot dan tidak lagi boleh digunakan.

“Sama seperti otot. Jika anda tidak menggunakan otot dan hanya baring setiap masa, otot itu tidak boleh menampung berat. Tidak lagi boleh berdiri dan berjalan.

“Begitu juga dengan otak. Sekiranya kita tidak menggunakan otak, anda tidak berfikir, anda tidak menyelesaikan masalah, anda tidak membaca, anda tidak menulis, otak akan merosot dan anda akan menjadi nyanyuk. Oleh itu sentiasalah kekal aktif,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 6:07pm
d