utama

Ini 'syurga' kami...

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

MELIHAT keadaan sebuah rumah usang dan daif di Batu 6 Jalan Gambang, di Kuantan, sama sekali tidak menyangka rumah berkenaan mempunyai penghuni.

Malah, lebih mengejutkan rumah berkenaan dihuni oleh dua beradik ibu tunggal bersama anak mereka yang kesemuanya berjumlah 14 orang.

Bagi Noridah Mohd Nor, 40, keadaan rumah itu sememangnya tidak selesa, namun mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Katanya, dia berpindah ke rumah milik arwah ibunya itu bersama lapan anaknya selepas bercerai dengan suami keduanya pada pada 2013.

"Sebelum ini arwah ibu tinggal di rumah ini bersama adik (Norizan Mohd Nor, 37) serta enam anaknya, selepas berpisah dengan bekas suami ibu mengajak saya tinggal bersamanya.

"Pada mulanya, saya enggan namun memandangkan saya tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap, saya berpindah juga ke rumah ini dan terpaksa bersesak," katanya ketika ditemui.

Katanya, meskipun rumah yang mereka diami itu tidak selesa dengan keadaan bumbung bocor, dindingnya pula terkopak namun itulah 'syurga' bagi mereka untuk berlindung dari hujan dan panas.

Noridah berkata, dia kini bergantung kepada pencen arwah suami pertamanya sebanyak RM900 sebulan dan wang itulah digunakan untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.

Ditanya mengenai persiapan menyambut Aidilfitri, dia berkata, dengan kesempitan hidup yang dilaluinya dia tidak mampu menyediakan kelengkapan raya untuk anak-anaknya.

"Mujur ada antara anak-anak saya menerima sumbangan baju raya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang prihatin dengan nasib kami, sekurang-kurangnya mereka dapat merasai kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya yang mempunyai anak berusia tiga hingga 21 tahun.

Sementara itu, Norizan berkata, dia serta dua anaknya menghidapi asma, manakala seorang lagi sering mengalami sawan.

"Jika cuaca terlalu sejuk, atau keadaan terlalu berhabuk, anak saya terutamanya yang bongsu, Nor Aina Aliya Elisa Abdullah, 3, sering diserang asma sehingga ada kalanya memaksa saya untuk mendapatkan rawatan di hospital.

"Selain itu, Nor Aina juga mengalami masalah pembesaran dan perlu berjumpa doktor setiap dua minggu dan perlu minum susu khas yang diberikan oleh klinik kesihatan," katanya yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 12:25pm
d