utama

4 hari makan mi segera

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Seremban: Tujuh sekeluarga yang tinggal di sebuah rumah di Kampung Jiboi, Ampangan di sini, sudah empat hari hidup dengan hanya makan mi segera kerana ketiadaan wang membeli makanan.

Siti Rohani Abdul Kamal, 28, bersama enam anak berusia setahun empat bulan hingga 12 tahun dikatakan baru pulang ke rumah pusaka ibu bapanya dari Kulai, Johor selepas rumahtangganya bermasalah dan kini dalam proses perceraian.

“Sudah empat hari kami berbuka puasa dengan mi segera kerana itu saja yang mampu saya sediakan. Saya pulang ke rumah ini lima hari lalu (Jumaat lalu) kerana rumah sewa sudah tertunggak lebih empat bulan.

“Saya dan anak balik sehelai sepinggang dan tiada apa di rumah pusaka ini. Dapur pun tiada cuma ada pemanas air yang menggunakan elektrik dari rumah jiran dan itulah yang saya gunakan memasak mi segera,” katanya.

Menurutnya, rumah itu tiada bekalan elektrik dan air.

Kepayahan hidup keluarga Siti Rohani mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang melakukan lawatan bersama Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Norfadilah Mansor, malam semalam.

Mohamad Rafie berkata, pihaknya akan memanjangkan situasi wanita itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diambil tindakan dan diberi bantuan segera.

“Pada mulanya saya hairan kenapa baru sekarang saya tahu ada ibu tunggal anak enam yang hidup melarat di kawasan saya, tetapi saya dimaklumkan mereka baru berpindah ke sini.

“Keluarga ini perlu dibantu apatah lagi anak sulungnya ada masalah jantung dan anak bongsunya menghidap asma. Saya pastikan keluarga ini mendapat bantuan sewajarnya secepat mungkin,” katanya.

Beliau difahamkan semua anak Siti Rohani tidak pernah bersekolah akibat kemiskinan dan perkara itu diteliti untuk tindakan selepas lawatan JKM semalam.

Disiarkan pada: June 13, 2018 @ 9:14am
d