utama

Rindu Aidilfitri di bumi Palestin

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

“MESKIPUN dapat berjumpa dan beraya bersama rakyat senegara di Malaysia, namun pagi Syawal di Palestin sentiasa dirindui dan dalam ingatan."

Itu luahan Ziyad Mohd Shehada, 38, penuntut berasal dari Palestin yang melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina peringkat doktor falsafah (PhD) di

Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Ziyad yang berada di Malaysia sejak lima tahun lalu berkata, kerinduannya sedikit terubat apabila dia ditemani isteri, Hala Shihadah, 31 dan tiga anaknya, Mohamad, Farah, 11 serta Mustafa, 9.

"Suasana raya di sini (Malaysia) dan Palestin semestinya berbeza.

“Saya merindui ibu dan enam adik-beradik yang berada di Gaza,” katanya kepada Harian Metro.

Dia ditemui ketika beraya bersama masyarakat senegaranya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, hari ini.

Bercerita perbezaan sambutan di Palestin, Ziyad berkata, sambutan bermula selepas solat Maghrib pada malam raya apabila ia dimulai dengan muzik tradisi dan bunga api.

“Itu semestinya tidak dapat dinikmati di Malaysia,” katanya.

Katanya, bertambah istimewa pada Aidilfitri apabila setiap keluarga perlu membawa masakan tradisional Palestin seperti hummus (kacang kuda atau kacang lain yang dimasak dan dilenyek, dicampur dengan minyak) dan falafel (bebola kacang fava).

"Kami turut menyediakan manisan tradisi seperti baklava dan kunava yang dimasak sendiri oleh isteri masing-masing.

"Makanan itu kemudiannya akan dikongsi bersama rakan lain.

"Kemudiannya, setiap keluarga akan menuju bercuti di destinasi masing-masing," katanya.

Ziyad berkata, di Palestin, Aidilfitri disambut

selama tiga hari di mana hanya golongan lelaki yang akan keluar menziarah saudara.

Menurutnya, atas faktor keselamatan dan kos, dia sudah lima tahun tidak pulang ke Gaza sekali gus cukup merindui suasana sambutan Aidilfitri dan keluarga di sana.

"Kami hanya mampu mendoakan keselamatan mereka di sana. Kami juga ingin beraya bersama ahli keluarga dalam keadaan aman dan tenteram seperti orang lain," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2018 @ 11:31am
d