utama

'I Love You' Tun M

Oleh Wartawan NSTP

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, kebanyakan hadirin yang bersalaman dengannya hari ini mengucapkan 'terima kasih' dan 'I love you' kepadanya kerana menyelamatkan Malaysia daripada pemerintahan terdahulu.

Perdana Menteri berkata, mereka yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2018 di Putrajaya hari ini menzahirkan rasa terima kasih tidak terhingga.

"Ramai daripada mereka ucap terima kasih kerana menyelamatkan negara kita. Bukanlah saya seorang yang berjaya menumpaskan pemerintahan terdahulu (tetapi ia kerjasama semua).

"Mereka yang hadir hari ini memberi sokongan kuat kepada kami sehingga walau apa pun rintangan oleh pemerintah dahulu, mereka (pemerintah terdahulu) tidak berjaya selamatkan diri mereka,” katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka itu.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, antara anggota Kabinet yang hadir termasuk Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dr Mahathir berkata, ia menunjukkan demokrasi di mana rakyat bebas untuk memilih kerajaan.

“Jika mereka dapati kerajaan itu sudah usang dan tidak sesuai lagi hanya dengan mengundi kita dapat tukar kerajaan di negara kita.

"Kita tidak perlu keganasan, peperangan atau permusuhan antara rakyat dengan pemerintah apabila pemerintah sedar bahawa rakyat sudah tidak lagi nak mereka, adalah baik mereka mengambil berat mengenai pandangan rakyat," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya perpaduan di kalangan semua kaum, insya-Allah negara akan aman.

"Dalam keamanan ini, dapatlah pulih semula negara kita ini dan kita dapat selesaikan masalah hutang yang berbilion -bilion yang dilakukan oleh pemerintah dahulu.

"Dengan kerjasama rakyat keamanan dan keselamatan negara kita akan dapat kami pulihkan supaya semua rakyat pelbagai kaum akan hidup harmoni dan tidak tertekan dengan kezaliman kerajaan, insya-Allah.

"Inilah hasrat kerajaan Pakatan Harapan. Mudah-mudahan kami akan dapat tunaikan janji kami kepada rakyat. Terima kasih kerana ramai daripada rakyat yang menyatakan sokongan mereka malah ada yang berkata ‘I love you’.

"Kita tidak bagi plakad tertulis, I love PM. Tetapi semasa mereka bersalam, mereka nyatakan perkatakan ‘I love you’. Terima kasih kepada mereka," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2018 @ 2:07pm
d