utama

Ku Li tanding Presiden UMNO [METROTV]

Oleh Manirajan Ramsamy; Nazura Ngah; Veena Babulal dan Ahmad Suhael Adnan

AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, akhir bulan ini.

Bercakap kepada pemberita di kediamannya di Jalan Langgak Golf, di Kuala Lumpur, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti dan memperhalusi terutama soal kepemimpinan.

“Saya dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO.

“Saya yakin dapat memimpin UMNO untuk meneruskan tradisi dan bercadang untuk memastikan UMNO sebagai pembangkang setia bertanggungjawab terhadap negara,” katanya.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li pernah menjadi Menteri Kewangan pada 1976 - 1984.

Pada usia 81 tahun, Ku Li adalah wakil rakyat paling lama selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, yang dimenangi pada 1974, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), baru-baru ini.

Sehingga kini, pemangku Presiden merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah satu-satunya individu yang dikatakan akan bertanding untuk jawatan itu.

Di peringkat Timbalan Presiden pula, dua individu sudah mengesahkan untuk bertanding iaitu Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir pada sidang media berkenaan, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Disiarkan pada: June 16, 2018 @ 2:21pm
d