utama

Ali, Merlin kembara ke Afrika pula...

Oleh Fazrik Kamarudin

SELEPAS menjelajah benua Asia dan Eropah, mengharungi perjalanan berpuluh ribu kilometer, menempuh dugaan, cabaran suka dan duka, Ali bersama motosikal kesayangannya, Merlin bakal menambah satu lagi bab dalam buku catatan pengembaraan mereka.

Kali ini, penjelajahan ke Afrika, benua kedua terbesar di dunia, terkenal dengan cuaca ekstrem padang pasirnya, hidupan liar eksotik dan kepelbagaian budaya hampir satu bilion penduduknya, yang mewakili 16 peratus penduduk dunia.

Ali atau nama sebenarnya Mohd Shahrul Zaim Jamil, 37, mula dikenali selepas kisah pengembaraan bersama Merlin, nama jolokan motosikal buatan British jenis Triumph T110 yang dibinanya sendiri tersebar di media sosial.

Pada 2016, mekanik berjaya ‘mengotakan janji’ kepada Merlin untuk membawa model motosikal buatan tahun 1956 itu pulang ke tempat kelahirannya, di kilang motosikal Triumph yang terletak di Hinckley, Leicestershire, United Kingdom.

Dalam perjalanan itu, Ali menunggang Merlin, yang berkapasiti 650cc sejauh 24,000 kilometer selama hampir lima bulan menggunakan jalan darat dari bengkel miliknya di Seremban.

Untuk pengembaraan benua Afrika yang dirancang bermula pada September depan, Ali akan ditemani isterinya, Latifah Rosli, 36, yang akan menunggang motosikal BMW GS Rally 2017 yang diberi nama panggilan 'Janie’.

Menambah ‘rencah’ pengembaraan kali ini, anak mereka Muhammad Triumph Ziqri, 12 bulan, yang dinamakan sempena jenama motosikal kesayangan Ali, turut dibawa bersama.

Anak jati Palong, Negeri Sembilan itu berkata, minatnya mengembara bermula selepas dia berpeluang melihat keindahan dunia ketika bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan antarabangsa.

Katanya, peluang untuk mengalami sendiri cara hidup pelbagai masyarakat di seluruh dunia, menjalin persahabatan dan mengenali hati budi pelbagai jenis orang sentiasa menggamit hatinya untuk mengembara.

“Benua Afrika satu tempat yang amat menarik dan mencabar, pelbagai latar budaya, bahasa, tradisi dan gaya hidup penduduknya yang ingin dilihat, dikenali dan selami karakter penduduk tempatan.

“Saya merancang jika boleh untuk tinggal bersama mereka, supaya boleh mengalami sendiri bagaimana rutin harian mereka," katanya kepada NSTP.

Ali berkata, setiap kilometer yang dilalui memberi peluang untuk menyaksikan keindahan syiar Islam dan kebesaran Allah SWT.

“Setiap kali mengembara, saya jadikan ziarah masjid atau surau antara misi, dan kali ini tidak terkecuali kerana ingin bertemu dengan komuniti Islam di setiap negara yang bakal dilawati,” katanya.

Mengikut perancangan, Ali dan isterinya akan menunggang merentasi 10 buah negara di benua yang berkeluasan 30 juta kilometer persegi itu dalam tempoh enam hingga tujuh bulan.

Antara negara yang bakal disinggahi adalah Afrika Selatan, Mali, Congo, Libya, Kenya serta Zimbabwe dan Ali menjadikan kepulauan Madagascar sebagai negara penamat pengembaraannya.

Pemilik akaun Facebook Ali Klasik Garero itu, berkata perkara paling berharga dalam pengembaraannya adalah 'sahabat'.

“Saya mempunyai lebih 200 sahabat di seluruh dunia, terutama dari negara yang pernah dikunjungi. Sampai sekarang kami masih berhubung, bertanya khabar dan berkongsi pelbagai kisah harian kami.

“Saya amat menyayangi sahabat saya, tidak kira apa latar belakangnya, dari mana asalnya, apa bangsanya, saya berbangga berpeluang mengenali mereka,” katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2018 @ 5:33pm
d