utama

Syawal lebih bermakna

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: “Saya gembira dan terharu apabila dapat menyambut 1 Syawal di rumah lebih selesa,” kata Ruslida Kamarazaman, 38, dari Kampung Chegar Bungor, dekat sini.

Harian Metro sebelum ini mendedahkan ibu tunggal bersama tiga anak itu tinggal di kandang kambing yang diubah suai sejak setahun lalu berikutan hidup miskin selepas bercerai dengan suaminya.

Selepas kisah hidupnya disiarkan akhbar ini tiga minggu lalu, keluarga Ruslida mendapat simpati Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Care diketuai Presiden Kebangsaan, Mohd Syahbuddin Hashimdan yang bertindak segera membaik pulih ‘rumahnya’.

Kerja membaik pulih kandang kambing itu mengambil masa tiga hari membabitkan 15 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan 10 sukarelawan belia.

Ruslida berkata, dia menerima kedatangan pelbagai pihak termasuk individu dari luar Kelantan ingin melihat kediamannya di kandang kambing terbiar yang diubah suai.

“Di bulan Ramadan yang mulia, pelbagai pihak tampil menghulurkan pelbagai bantuan termasuk mahu membaik pulih kediaman saya secara percuma.

“Saya tidak pernah terfikir perkara ini akan menjadi kenyataan dan Alhamdulillah pada Aidilfitri kali ini, Tuhan makbulkan doa saya untuk memperoleh rumah lebih selesa,” katanya.

Katanya, ini adalah kali pertama dia dan anak meraikan Aidilfitri dengan pakaian baru seperti keluarga lain.

“Beberapa tahun sebelum ini saya tidak pernah merasai suasana gembira menyambut hari raya kerana tidak mampu beli pakaian baru. Dengan pendapatan hanya bergantung hasil upah menoreh getah RM10 sehari ia sekadar untuk belanja makan saja.

“Tahun ini, ramai pihak tampil membantu menyediakan keperluan untuk kami sekeluarga termasuk baju raya, saya memang tidak mampu balas jasa mereka dan hanya mampu ucapkan terima kasih dengan keprihatinan mereka,” katanya.

Selain MAYC, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut mengunjunginya.

MAIK akan membina rumah baru kepada keluarga terbabit dalam masa terdekat di tapak yang sudah dikenal pasti.

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 6:21am
d