utama

Zara, Hafreez tak melenting

Oleh Georgie Joseph & Sudirman Mohd Tahir

Sekian lama menyambut Aidilfiti tanpa teman istimewa, tahun ini pelakon popular, Zara Zya meraikannya dengan kekasih yang juga pelakon, Hafreez Adam.

Walaupun belum merancang pada hari raya ke berapa untuk beraya bersama, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 33, mengakui Aidilfitri kali ini cukup bermakna.

Selain mengharapkan ikatan percintaan dengan Hafreez berjalan lancar, Zara juga bersyukur apabila bidang perniagaan yang diusahakan dipermudahkan.

Pada masa sama, Zara yang juga pelakon drama Monalisa sudah bersedia menjawab segala persoalan mengenai perancangannya berkahwin dengan Hafreez.

“Soalan nak kahwin ini ditanyakan hampir setiap hari. Tidak perlu nak tunggu raya ini. Malah, apa jua soalan pasti ditanya setiap kali saya pulang kampung. Saya okey saja nak menjawab segala persoalan. Kalau sudah penat, saya diam saja.

“Saya juga tidak perlu melenting atau marah jika ditanya soalan sama banyak kali. Saya beranggapan ia juga satu doa. Ia juga membuktikan orang ambil berat mengenai kita.

“Dalam perkara ini, saya sentiasa berdoa yang baik-baik. Kami pun nak hubungan ini berkembang. Sekarang bukan masa nak main-main lagi. Saya sudah berusia 33 tahun, jadi tidak ada masa nak habiskan duit. Lebih baik fikir soal masa depan,” katanya.

Namun, Zara menafikan dia dan Hafreez bakal melangsungkan majlis pernikahan pada Aidilfitri ini. Sebaliknya, Zara menyerahkan perkara itu kepada jodoh dan ketentuan Allah.

“Kalau dia kata tidak mahu bertunang, tetapi terus nikah, saya ikut saja. Namun, sebagai wanita tidak manis jika saya terlalu banyak bercakap soal ini. Saya serahkan segalanya kepada dia.

“Tidak dinafikan, berita ini sentiasa ditunggu-tunggu. Malah apabila cerita mengatakan kami bercinta disiarkan, ramai terkejut. Sebab sebelum ini kami tidak pernah tunjuk apa pun dan tak pernah ada hubungan.

“Jadi, kalau ada kata kami nak bertunang atau berkahwin raya ini, memang tidak benar sama sekali. Kalau ikutkan dia nak cepat saja, tetapi saya belum bersedia,” katanya.

Pada masa sama, Zara berkongsi Hafreez sudah berjumpa ibu dan kakaknya.

“Kami akan menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing. Saya akan balik kampung nenek di Pahang sementara dia di Johor. Saya tidak mahu ‘over’ sampai kena beraya bersama,” katanya yang turut merancang menggayakan baju sedondon.

Hafreez luang masa dengan keluarga

Sibuk dengan jadual lakonan sejak awal tahun lalu, Hafreez, 27, pula menggunakan kesempatan lebaran kali ini untuk meluangkan masa sepenuhnya bersama keluarga.

Pulang beraya di kampung ibunya di Johor, Hafreez berkata, persiapan kali ini masih seperti tahun sebelum ini.

“Semakin meningkat dewasa, saya tidak terasa sangat keterujaan itu, namun lebih tertumpu kepada perjumpaan dengan sanak-saudara.

“Saya mahu habiskan masa bersama mereka sebaik-baiknya. Lagipun, tahun ini saya mendapat cuti panjang, dalam 11 hari.

“Persiapan pun memang tidak banyak disebabkan sepanjang Ramadan saya masih sibuk di set penggambaran,” katanya.

Sejak menjalin cinta dengan Zara, Hafreez tidak bimbang dengan pertanyaan mengenai kahwin yang pastinya bakal diberikan padanya kelak.

Menurutnya, ia bukan perkara luar biasa pun dan dia sudah lali dengan pertanyaan sebegitu setiap tahun.

“Tiada apa yang nak dibimbangkan sebab soalan itu pun memang sudah saya dapat beberapa tahun sebelum ini. Soalan sudah ada teman wanita dan bila nak kahwin adalah soalan normal untuk saya,” katanya.

Dalam pada itu, Hafreez juga bakal mengadakan majlis rumah terbuka di Kuala Lumpur istimewa buat peminat kelak.

“Saya dan Zara akan mengadakan majlis Aidilfitri bersama tetapi lambat sedikit. Memandangkan masing-masing akan sibuk pada lebaran ini, kami cuma akan adakannya kira-kira seminggu selepas raya pertama.

“Semestinya kami akan gunakan kesempatan itu untuk melayan peminat serta meluangkan masa bersama jemputan yang lain,” katanya.

Hafreez juga tidak berhajat bercuti lama selepas Aidilfitri dan bakal kembali ke set penggambaran sebaik habis beraya.

“Saya akan terus kembali bekerja demi menyudahkan penggambaran drama Pencuri Cinta Kelas Satu. Selepas drama itu selesai, barulah saya beralih kepada projek lain pula,” katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 8:45am
d