utama

Jangan rosak baju Melayu

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Penjualan baju Melayu moden atau diubah suai perlu mengekalkan konsep dan falsafah pakaian berkenaan bagi menghormati inspirasi warisan sehingga tidak menyebabkan kecacatan hingga mengundang pelbagai persepsi negatif.

Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Faizal Hamid berkata, seperti sedia maklum sememangnya pereka akan cuba menghasilkan rekaan baru dalam industri fesyen tempatan, seterusnya menarik ramai orang untuk mencubanya.

Beliau berkata, pereka fesyen seharusnya melakukan penyelidikan dan kajian mengenai pakaian tradisi berkenaan supaya seni warisan tetap dikekalkan tanpa merosakkan nilai baju Melayu.

Katanya, baju Melayu kontemporari yang diubah suai termasuk kurta di pasaran sebenarnya bersifat sementara dan hanya popular mengikut pasaran semasa saja.

“Rekaan yang asli perlu dikekalkan dan dipelihara kerana ia adalah wajah serta identiti warisan bangsa kita malah kaya dengan nilai estetik yang penuh falsafah.

“Mengambil inspirasi pakaian tradisi untuk diterjemahkan dalam pakaian kontemporari tidak salah selagi kita menghasilkannya dengan penuh hormat, ilmu serta niat untuk memartabatkan warisan budaya kita,” katanya.

Faizal berkata, fesyen terkini yang ada di pasaran sebenarnya ditentukan atau dinilai oleh ramai jika menepati kehendak mereka atau sebaliknya.

“Namun, dinasihatkan supaya rekaan yang dihasilkan itu janganlah melampau hingga mengundang pelbagai persepsi negatif yang akhirnya merosakkan pakaian tradisi itu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan tumpuan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan pusat beli-belah terkemuka di bandar raya ini mendapati kebanyakan peniaga lebih berminat menjual baju Melayu moden yang diubah suai dan kurta.

Malah, ada antara pakaian berkenaan yang didapati sudah hilang ciri dan warisan baju Melayu hingga kelihatan cacat atau ‘pelik’.

Selain itu, penjualan kurta pula yang dipercayai berasal dari Asia Timur juga menyebabkan baju Melayu ‘tenggelam’ dan kurang diminati generasi muda sekarang ini.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 9:08am
d