utama

Putera cedera, isteri maut

Phnom Penh: Seorang putera raja Kemboja cedera manakala isterinya maut dalam nahas di lebuh raya yang turut mengakibatkan bekas perdana menteri negara itu mengalami kecederaan.

Putera Norodom Ranariddh dan isterinya, Ouk Phalla dikejarkan ke hospital selepas konvoi mereka dirempuh teksi membawa beberapa penumpang yang datang dari arah bertentangan di wilayah Preah Sihanouk. Ranariddh adalah abang kepada Raja Kemboja, Norodom Sihamoni.

Laporan di laman web rasmi polis menunjukkan kenderaan yang rosak teruk selain mangsa terbaring di atas jalan. Laporan awal menyebut tujuh orang cedera dalam kejadian itu.

Menurut laporan, Ranariddh dalam perjalanan dari Kampot ke Preah Sihanouk dalam kempen pilihan raya kebangsaan kontroversi yang dijadualkan pada 29 Julai depan.

Ouk meninggal dunia ketika dirawat di pusat perubatan berhampiran manakala Ranariddh yang juga ketua parti setiaraja, Funcinpec party, diterbangkan ke Phnom Penh untuk rawatan lanjut.

Satu kenyataan dimuat naik ke akaun Facebook rasmi Ranariddh berkata: “Kematian Ouk satu kehilangan besar untuk parti Funcinpec.”

Seorang anggota parti mengesahkan kematian Ouk dan berkata, Ranariddh, 74, dijangka akan pulih. Butiran kecederaannya tidak didedahkan. - AFP

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 9:18am
d