utama

'Cukup-cukuplah menghina'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"KALAU memang isteri saya tak cantik, apa masalah anda? Dia tak kacau hidup anda pun," luah penyanyi dan pelakon, Izzue Islam terhadap sikap segelintir netizen yang suka menghina rupa paras isterinya, Nurinafilah Waharudin atau Awin Nurin.

Izzue atau Muhammad Izzul Islam Mazlan, 28, mengakui kecil hati dengan perkara itu apatah lagi ia dilakukan dalam bulan Syawal.

Izzue berkata, cukup-cukuplah netizen melakukan perkara sama sepanjang lima tahun berkahwin kerana ia sedikit pun tidak mengurangi rasa kasih dan sayang terhadap isteri.

"Perkara ini memang susah nak suruh mereka berhenti tetapi apa salahnya hormat bulan Syawal. Kalau memang dalam diri sukar nak berhenti daripada sikap suka menghina, buat bulan lain. Namun, sebaiknya buang sikap hitam ini.

"Bagi saya ia terlalu negatif. Saya dan isteri sabar saja. Kalau tegur cara kasar, nanti mengata saya tak ada adab dan tak boleh terima hakikat pula. Sebaliknya, mereka pijak kepala pula," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu menerusi Instagram Story miliknya dimuat naik semalam, Izzue berkongsi paparan skrin daripada komen netizen menggunakan akaun @song.jihoo.14 yang menulis isteri Izzue tidak ada rupa dan macam pembantu rumah.

"Saya dan isteri tidak suka perkara negatif ada di laman sosial. Daripada satu komen, ia boleh bertambah. Kalau betul tidak suka melihat wajah isteri saya, jangan komen. Paling mudah 'unfollow' atau sekat saja akaun saya.

"Dengan cara itu tidaklah mereka sakit mata melihat isteri saya. Namun, tidak dinafikan komen sebegini selalunya ingin tarik perhatian orang lain.

"Sebenarnya, malas nak layan komen sebegini tetapi kalau dibiarkan ia kian melampau. Jadi, saya perlu tegur. Cuma pesan saya, kalau betul berani apa kata berdepan dan luahkan apa yang anda tidak puas hati. Jangan berselindung di sebalik akaun palsu," katanya.

Tidak cukup di IG Story, Izzue juga memuat naik status berbentuk pantun secara sinis menyindir sikap netizen yang dianggap keterlaluan.

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 12:53pm
d